malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Usul putus hubungan PAS, PKR dipersetujui sebulat suara
ADS

MUKTAMAR | Muktamar Tahunan PAS Ke-63 hari ini menyatakan persetujuan menerima usul bagi memutuskan tahaluf siyasi melibatkan kerjasama antara parti itu dan PKR.

Usul tersebut dibentangkan oleh Perwakilan Dewan Ulama PAS Pusat, Zulkifli Ismail pada sesi pembentangan usul yang diterima untuk dibahas.

"Saya mewakili dewan ulama PAS pusat dan seluruh dewan-dewan yang lain dan kawasan yang mengemukakan usul ini. Sejarah lalu mencatatkan bahawa PAS telah melaksanakan hubungan tahaluf siyasi dengan berbagai pihak di sepanjang tempuh perjuangan PAS ini.

"Maka sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-63, kami mengusulkan supaya tahaluf siyasi antara PAS dan PKR diputus dengan tertakluk kepada Majlis Syura Ulama, kita menyerahkan keputusan untuk memutuskan keputusan usul ini kepada Majlis Syura Ulama," katanya.

Terdahulu, usul tersebut telah diusulkan oleh 21 PAS kawasan dalam mesyuarat agung masing-masing dan Dewan Ulama PAS Pusat serta Pemuda PAS dan diletakkan sebagai usul ketiga dalam kategori usul yang diterima untuk perbahasan.

Usul yang dibentang itu kemudiannya disokong oleh Perwakilan PAS Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang meminta supaya keputusan itu dibuat dalam tempoh segera.

Pengerusi Tetap, Hussin Ismail kemudiannya bertanyakan kepada para perwakilan sama ada mereka setuju atau tidak usul tersebut.

Ia sekali gus disambut seluruh perwakilan dengan laungan 'setuju' sambil berdiri bagi menyatakan sokongan mereka.

Dalam pembentangannya, Zulkifli berkata, keputusan mengemukakan usul itu yang dibuat dengan merujuk kepada panduan yang menjadi rujukan dalam perlembagaan PAS.

Ketetapan syarat tahaluf siyasi

Katanya, Majlis Syura Ulama telah menetapkan syarat tahaluf siyasi antaranya seperti berikut;

1. Tahaluf mestilah dijalankan sebagai wasilah untuk menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk pelaksanaan Islam.

2. Tahaluf mestilah dipastikan dasar-dasar Islam dipertahankan.

3. Intima’ hendaklah diberikan kepada kepimpinan gerakan Islam, bukan kepada pakatan tahaluf siyasi.

4. Tahaluf hendaklah dijadikan ruang dan medan menyampaikan dakwah.

5. Matlamat kemenangan Islam tidak boleh menghalalkan tahaluf secara mutlak.

6. Mandat membuat penilaian tahaluf mestilah dibuat oleh Majlis Syura Ulama.

Tambah Zulkifli, kini terdapat banyak pelanggaran syarat berlaku di sepanjang tempoh berlangsungnya tahaluf siyasi antara PAS dan PKR dan boleh dibuktikan melalui beberapa kejadian.

"Penglibatan PKR menyokong calon Parti Amanah Negara (AMANAH) dan menentang PAS dalam dua pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

"Selain itu, kegagalan PKR untuk memberi sokongan yang baik kepada usaha PAS memperkasakan Mahkamah Syariah melalui Pindaan Akta 355 malah dilihat turut bersama dengan pendirian DAP menentang keras Pindaan Akta 355 ini.

"Dan kenyataan-kenyataan pimpinan PKR secara terbuka yang jelas memperlihatkan keceluparan dan kebiadapan mereka terhadap PAS sekali gus tindakan mereka yang tidak menunjukkan setiakawan," jelasnya.

Lihat Komen