malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lebih 49,000 penjawat awam berisiko muflis, kata Cuepacs
Diterbitkan:  Apr 30, 2017 2:10 PM
Dikemaskini: 6:11 AM
ADS

Lebih 49,000 penjawat awam berdepan risiko menjadi muflis berikutan kegagalan mereka menguruskan hutang pinjaman, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda.

Azih berkata penjawat awam terbabit didapati melakukan pinjaman peribadi daripada institusi kewangan yang melebihi kemampuan gaji mereka.

"Hal ini saya lihat semakin serius dan ia terjadi kerana ada penjawat awam yang bertindak memalsukan slip gaji ketika membuat pinjaman," katanya kepada pemberita pada Seminar Hari Pekerja, hari ini.

Beliau berkata ketiadaan sistem yang mengawal pinjaman yang dilakukan penjawat awam juga merupakan antara punca mereka membuat pinjaman melebihi kemampuan dan melakukan pinjaman bertindih.

"Sekarang ini kerajaan memberi peluang kepada lebih 20 agensi pinjaman membuat potongan gaji kepada penjawat awam yang melaksanakan pinjaman tanpa perlu merujuk antara satu sama lain (institusi pinjaman).

"Mereka (penjawat awam) boleh meminjam di mana-mana institusi pinjaman dengan hanya membawa slip gaji mereka dan institusi pinjaman akan membuat potongan gaji setiap bulan. Terdapat penjawat awam yang dudah pinjam dengan institusi A, kemudian membuat pinjaman pula dengan institusi B dan C," kata Azih.

Justeru, beliau berkata, Cuepacs mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan sistem sepertimana yang dilaksanakan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia iaitu Sistem Pelaporan Kredit (Spekar) yang mempunyai rekod penjawat awam.

"Sistem ini akan dapat mengawal pinjaman yang dilakukan oleh penjawat awam kerana sistem itu dapat mengesan data potongan gaji dan maklumat pinjaman penjawat awam.

"Sekarang ini yang dudah diisytihar muflis lebih 3,000 orang, kalau tidak dibendung, jumlah itu akan bertambah," katanya.

- Bernama

Lihat Komen