malaysiakini logo
story-image
ADS

MUKTAMAR l Bekas Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz melahirkan kerisauan sekiranya sistem demokrasi hilang dari kepimpinan sayap parti itu.

Menurutnya, ia susulan budaya bertanding jawatan di peringkat Pemuda PAS itu semakin berkurang.

"Hanya 14 orang pertandingan dalam jawatan ahli jawatankuasa, seingat saya ini yang paling sedikit?

"Sehingga saya sebut dalam mesyuarat terakhir bahawa saya agak terkilan, ketika kita gembira suasananya agak tenang, tetapi saya bimbang kalau masing-masing tarik diri maka hilanglah demokrasi dalam Dewan Pemuda PAS," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Muktamar Pemuda PAS ke-58, di Alor Setar hari ini.

Terdahulu, pemilihan kepimpinan tertingi Pemuda PAS menyaksikan hanya jawatan ahli jawatankuasa sahaja dipertandingkan, manakala jawatan-jawatan lebih tinggi dimenangi tanpa bertanding.

Ia berikutan ramai calon yang memilih untuk menarik diri daripada pencalonan termasuk jawatan timbalan ketua pemuda dan naib ketua pemuda.

Jangan tarik diri

Anggota parlimen Pasir Mas itu berkata, beliau berharap suasana itu tidak akan berterusan di masa akan datang.

"Saya tidak berminat kalau ramai yang menarik diri. Setelah perwakilan di seluruh negara bermesyuarat masing-masing berfikir untuk memilih calon yang lawayak, tetapi yang layak ini suka tarik dari.

"Saya harap suasana bukan menjadi amalan yang berterusan. Orang yang dicalonkan janganlah tarik diri.

"Berilah peluang kepada perwakilan untuk mengundi kerana itulah hak setiap perwakilan yang datang dari seluruh negara," katanya.

Bagaimanapun, Nik Abduh berkata walaupun beliau tidak menganggap perkara itu (tarik diri) salah namun menyatakan kebimbangan jika demokrasi akan mati.

"Tak tarik diri adalah sunnah khulafa ar-rasyidin, yang dimulakan oleh Saidina Ali (Abi Talib) dan Saidina Uthman (Affan).

"Jadi yang nak tarik diri itu tarik dirilah dengan mulia dan yang tak mahu tarik diri itu, jangan tarik diri dengan rasa bangga kerana ikut sunnah sahabat nabi," katanya.

Pada muktamar itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Datuk Wan Mutalib Embong mengumumkan anak sulung Presiden PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi menang tanpa bertanding sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat bagi sesi 2017-2019.

Muhammad Khalil, yang sebelum ini ialah Timbalan Ketua Pemuda, menggantikan bekas ketuanya, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz, yang melepaskan jawatannya bagi memberi laluan kepada muka baharu pada pemilihan kali ini.

Berikut adalah senarai Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) sesi 2017-2019:

Nota: MTB: Menang tanpa bertanding

Pengerusi Tetap: Kamal Ashaari (MTB)

Timbalan Pengerusi Tetap: Dr Riduan Mohd Nor (MTB)

Ketua: Muhammad Khalil Abdul Hadi (MTB)

Timbalan Ketua: Ir Khairil Nizam Khiruddin, (MTB)

Naib Ketua: Ahmad Fadhli Shaari (MTB)

Pemeriksa Kira-Kira: Mohd Shahir Abu Hassan (MTB); Muhammad Ali Rajaie Jamaludin (MTB)

Ahli Jawatankuasa Kerja (12 orang) :

1. Afnan Hamimi Taib Azamuddin

2. Muhtar Suhaili As-Sarawaki

3. Syahir Sulaiman

4. Hazmi Dibok

5. Hishamuddin Abdul Karim

6. Izwan Abdul Halim

7. Nurul Islam Mohamed Yusof

8. Mohammad Arifiriazul Paijo

9. Mohd Akmal Kamaruddin

10. Mohd Hafez Sabri

11. Nor Azariza Mohd Alawi

12. Nazman Che Ibrahim

Muktamar PAS ke-63 bermula semalam dengan muktamar tahunan ketiga-tiga sayap - Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.

Muktamar PAS Pusat akan bermula esok, dengan ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Muktamar yang dihadiri 1,200 perwakilan dijadual berakhir Isnin ini.

Lihat Komen