malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

MUKTAMAR l Perwakilan Pemuda PAS menjadikan sekutu politik mereka, PKR sebagai bidasan dan sasaran tertumpu kepada naib presiden Rafizi Ramli dan timbalan presiden Datuk Seri Azmin Ali.

Serangan dimulakan oleh perwakilan Johor, Mohd Azlan, yang bangkit dan menyelar Rafizi melalui serangkap pantun.

“Harum manis masak sedikit, makan sebiji rasa tenang.

“Datanglah jutaan fitnah Rafizi, kami Pemuda istiqamah hingga menang.”

Mohd Azlan, juga berkata bahawa Pemuda PAS bukan sahaja akan bangkit menentang Pakatan Harapan tetapi sedia berdepan dengan BN.

Serangan itu dibuat susulan dakwaan Rafizi, dua minggu lalu bahawa bekas Timbalan Presiden PAS Datuk Nasharudin Mat Isa menerima dana SRC International yang adalah bekas anak syarikat 1MDB.

Perwakilan Selangor, Mohamed Sukri Omar pula memberi amaran kepada Ahli Parlimen Pandan bahawa beliau akan berdepan tentangan hebat jika terus memfitnah PAS.

“Saya ingatkan Rafizi, kalau beliau terus menerus serang kita, kita tidak gentar sedikitpun.

“Kalau dia anak jantan, letakkan dirinya di Pandan pada pilihan raya umum akan datang.

“Kalau dia anak jantan bersedialah hadapi barisan Pemuda Islam yang tidak akan luntur semangat,” kata Mohd Sukri dengan berkobar-kobar.

Beliau kemudiannya menjadi Azmin sebagai sasaran dan mengingatkan timbalan presiden PKR itu bahawa ini mungkin penggal terakhirnya sebagai menteri besar Selangor.

“Dia (Azmin) boleh gelar kita lebai.. Tapi ingat kalau tanpa jemaah ini membantu, apatah lagi bantu Pakatan Rakyat, kerusi MB akan jadi penggal terakhir buat MB Selangor,” katanya yang juga Exco Pemuda PAS Selangor.

Azmin sebelum ini yang menggelarkan bekas Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Mat sebagai 'tok lebai yang kalah tersungkur' kerana menyuarakan aspirasi parti itu untuk merampas Selangor.

Mohd Sukri juga berkata, mereka telah sebulat suara bersetuju dengan usul untuk PAS memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Turut menjadi sasaran pada muktar Pemuda PAS adalah exco negeri Pulau Pinang, Abdul Malik Kassim.

Perwakilan Pemuda PAS Pulau Pinang Muhammad Hafiz Alias Al-Baghoni menuduh Abdul Malik tidak membela nasih orang Islam di negeri itu walaupun dipilih sebagai ADUN Batu Maung ADUN oleh orang Islam.

Sebelum ini, PAS Pulau Pinang telah memutuskan hubungan dengan PKR di negeri itu.

Semalam, Dewan Ulama PAS bersetuju sebulat suara untuk membawa usul agar parti itu memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Ia bagaimanapun tertakluk kepada keputusan Majlis Syura Ulama untuk membuat keputusan.

Lihat Komen