Nekmat: Tiada nelayan berpendapatan kurang RM400 sebulan

(Dikemaskini )

Tiada nelayan yang berpendapatan kurang daripada RM400 sebulan melainkan nelayan yang tidak berdaftar, kata Presiden Persatuan Nelayan Kebangsaaan (Nekmat), Ahmad Rudin Hussain.

Beliau yang mewakili seluruh nelayan Semenanjung Malaysia berkata dakwaan Anggota Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang kebanyakan nelayan di kampung masih di tahap pendapatan RM400 sebulan adalah tidak munasabah.

"Elaun sara hidup sahaja sebanyak RM300 sebulan dan adalah tidak munasabah pendapatan hasil laut nelayan hanya RM100 sebulan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pendapatan nelayan kini juga semakin meningkat sejak harga ikan tinggi dan permintaan hasil laut naik akhir-akhir ini.

Ahmad Rudin berkata Nekmat dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tidak pernah mengabaikan nasib golongan perwira di lautan itu.

Katanya pelbagai bantuan telah disediakan seperti Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), insentif hasil tangkapan ikan, subsidi minyak diesel dan petrol, projek khas perumahan nelayan, pembangunan tukun tiruan bagi membela serta meringankan beban golongan nelayan.

"Pelbagai bantuan dari kerajaan ini sedikit sebanyak dapat membantu masyarakat nelayan untuk meneruskan hidup walaupun adakala golongan nelayan ini tidak mampu untuk turun ke laut kerana cuaca yang tidak menentu," katanya.

Sementara itu di KUALA SELANGOR, Pengerusi Persatuan Nelayan Selangor, Ab Aziz Selamat berkata kalau di Selangor tidak ada nelayan yang terima pendapatan RM400 kerana jika mereka mendapat hasil laut minimum RM10 sehari dan meraih pendapatan sebulan RM300 dan ditambah dengan elaun sara hidup RM300 sebulan, mereka akan mendapat pendapatan sekurang-kurangnya RM600 sebulan.

"Justeru, nak kata nelayan hanya raih RM400 agak mustahil," katanya dalam sidang media di Pangkalan nelayan Sungai Sembilang di Jeram semalam.

Beliau berkata nelayan di Selangor juga tidak hanya bergantung kepada hasil tangkapan mereka semata-mata tetapi turut membuat aktiviti lain termasuk menjual ikan kembung yang boleh mencecah sehingga RM20 sekilogram sebagai sumber pendapatan sampingan.

Di samping itu, katanya, projek kebun kerang yang diperkenalkan kerajaan persekutuan juga membantu nelayan di Selangor meraih pendapatan sampingan yang mana setiap peserta dibahagikan kepada 10 orang untuk mengusahakan satu lot kebun kerang seluas 50 hektar.

Katanya, menerusi projek itu, nelayan yang terlibat tidak perlu mengeluarkan modal besar untuk membeli benih kerang kerana ia boleh didapati di sekitar pesisir pantai untuk ditaburkan ke dalam lot masing-masing sebelum ia dituai dan dijual di pasaran.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Selangor, Kamarudin Sarap pula berkata dakwaan pendapatan nelayan RM400 sebulan tidak masuk akal kerana mereka masih berpeluang mencari hasil lain seperti siput dan kerang di pesisir pantai bagi meraih pendapatan sekiranya tidak boleh turun ke laut.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Selangor, Azlisha Ab. Aziz, berkata pendapatan nelayan di Selangor adalah antara RM1,200 hingga RM2,100 sebulan, bergantung kepada kekerapan mereka turun ke laut.

- Bernama

Share