Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa polis menyegerakan siasatan kes kematian arwah Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi yang baru berusia 11 tahun.
Arwah dipercayai dipukul oleh pembantu warden madrasah tahfiz swasta di Johor Bahru.
Dalam catatan di Twitternya, Najib turut melahirkan rasa sedih atas kematian pelajar itu.
"Sedih menerima berita pemergian adik Mohd Thaqif Amin di Hospital Sultan Ismail, Johor Bharu dan saya ucapkan takziah kepada keluarga Arwah.
"Saya mahu siasatan kes ini dipercepatkan dan diambil tindakan undang-undang jika ada kesalahan," ujar beliau.
Kes Mohamad Thaqif menarik perhatian negara selepas berita mengenai kedua-dua kakinya terpaksa dipotong tersebar secara meluas.
Tangan kanannya juga menjadi hitam disebabkan oleh jangkitan manakala pembekuan darah muncul di bahu kirinya.
Walau bagaimanapun, Mohd Thaqif meninggal dunia sekitar jam 2 petang tadi tidak sedarkan diri.
Ahli-ahli politik tanpa mengira parti menyatakan kesedihan dan takziah mereka ke atas kematiannya.