malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pengurusan kes saman PM, isteri pada Rafizi 21 Jun
ADS

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 21 Jun bagi satu lagi pengurusan kes saman fitnah difailkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor terhadap Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli dan seorang pemilik portal berita berhubung subsidi minyak.

Pesuruhjaya Kehakiman Rohani Ismail menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas saman dikemukakan untuk pengurusan kes oleh peguam Nor Emelia Iszeham yang mewakili Najib dan Rosmah.

Turut hadir peguam Ng Siau Sun yang mewakili Mohd Rafizi dan peguam Joanne Leong mewakili pemilik portal Media Rakyat Chan Chee Kong.

Nor Emelia memberitahu pemberita, mahkamah menetapkan tarikh itu untuk pengurusan kes selanjutnya bagi memberikan perkembangan terkini berhubung permohonan bagi kebenaran merayu oleh kedua-dua defendan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan menolak pembelaan mereka bahawa ia adalah komen yang adil.

"Permohonan kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan akan didengar pada 20 Jun," katanya.

Pada 29 November tahun lepas, Najib dan isterinya berjaya dalam rayuan mereka di mahkamah rayuan untuk membatalkan pembelaan defendan bahawa ia merupakan komen yang adil, dalam saman fitnah mereka berhubung subsidi minyak.

Najib dan Rosmah memfailkan saman itu pada 16 April 2015 mendakwa, Mohd Rafizi yang juga anggota parlimen Pandan telah mengeluarkan kenyataan yang memperlekehkan mereka pada satu forum tentang subsidi minyak di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, pada 22 November 2014.

Mereka mendakwa ucapan Mohd Rafizi telah dirakamkan oleh Media Rakyat dan dimuat naik oleh Chan atau pembantunya di YouTube dan portal itu.

Mereka juga mendakwa Chan telah berkongsi rakaman itu di dalam akaun Facebook Media Rakyat yang boleh diakses secara bebas oleh pengguna Internet seluruh dunia.

Mereka berkata Chan telah gagal mengamalkan kewartawanan bertanggungjawab dengan tidak mengesahkan atau menyiasat kesahihan tuduhan-tuduhan di dalam kenyataan itu sebelum menyiarkannya.

Pasangan itu menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan yang difikirkan sesuai oleh mahkamah, faedah dan kos.

- Bernama

Lihat Komen