malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Mengapa Johari tak terlibat rundingan 1MDB?'
Diterbitkan:  Apr 25, 2017 3:17 PM
Dikemaskini: 8:51 AM
ADS

Apa sebenarnya yang dirundingkan pegawai Pejabat Perdana Menteri dan mengapa Menteri Kewangan tidak terlibat dalam penyelesaian pertikaian antara 1MDB dengan International Petroleum Investment Co (Ipic) - itu dipersoalkan Anggota Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Mempertikaikan mengapa tiada pembabitan menteri, Mahfuz berkata, persoalan yang timbul daripada perkembangan itu juga menyebabkan orang ramai bertanya, apakah yang cuba disembunyikan pihak terbabit daripada pegawai di Kementerian Kewangan.

"Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata beliau tidak terlibat dalam rundingan penyelesaian hutang antara 1MDB dan syarikat Abu Dhabi itu.

"Katanya, rundingan dan penyelesaian itu dilakukan oleh Lembaga Pengarah 1MDB dan Pegawai Pjabat Perdana Menteri.

"Suatu yang menghairan saya, 1MDB ialah anak syarikat Perbadanan Menteri Kewangan. Tiba-tiba rundingan penyelesaian hutang kepada IPIC tidak melibatkan Menteri Kewangan dan Kementerian Kewangan.

"Apa sebenarnya yang dirundingkan dan (apa) yang cuba disembunyikan daripada pegawai kementerian kewangan?" katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 22 April lalu Malaysiakini melaporkan Johari sebagai berkata, beliau tidak terlibat dalam rundingan penyelesaian antara 1MDB dan IPIC.

Johari diminta mengulas kebimbangan mengenai wang pembayar cukai digunakan dalam penyelesaian awal sebanyak AS$1.2 bilion seperti dibangkitkan oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

"Saya tidak terlibat dalam rundingan. Ia dilakukan oleh pengurusan dan lembaga 1MDB dengan pegawai PMO (Pejabat Perdana Menteri)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurut Mahfuz, sebelum ini 1MDB terletak di bawah kuasa penuh perdana menteri. Justeru, katanya,semua perkara yang melibatkan kewangan dan pelaburan mesti mendapat persetujuan dan kelulusan perdana menteri.

Tiada jawapan PM

Tetapi, katanya, selepas berlaku kekecohan kerajaan meminda kuasa merujuk kepada perdana menteri ditukar kepada menteri kewangan, serta lembaga penasihat dimansuhkan.

"Jadi kenapa perlu melibatkan pegawai Pejabat Perdana Menteri dan tidak menteri kewangan, khususnya menteri kewangan II.

"Mana boleh menteri mewangan II berkata beliau tidak terlibat dalam rundingan kerana ia dilakukan oleh pengurusan dan lembaga 1MDB dengan pegawai Pejabat Perdana Menteri," katanya.

Mahfuz berkata, rundingan penyelesaian hutang 1MDB kepada IPIC adalah berkaitan pinjaman dan faedah terkumpul berjumlah AS$3.5 bilion.

Mengikut 1MDB pula, katanya, jumlah AS$3.5 bilion (RM15.3 bilio) telah dibayar kepada anak syarikat IPIC iaitu Aabar Investmen PJS Ltd (Aabar BVI) iaitu "syarikat samaran palsu" yang diperakui dalam laporan Ketua Audit Negara.

Sehingga kini, kata Mahfuz, tiada jawapan yang diberikan oleh Datuk Seri Najib Razak yang pada waktu itu bertanggungjawab penuh meluluskan apa-apa perkara yang membabitkan kewangan 1MDB, termasuk meluluskan pembayaran AS$3.5 bilon kepada Aabar BVI, iaitu syarikat yang tidak wujud.

"Persoalannya ialah, AS$3.5 bilion (RM15 bilion) duit 1MDB telah hilang tanpa ada pencuri dari Malaysia ditangkap.

"Kini hujung tahun 2017 sebanyak AS$1.2 bilion (RM5.3 bilion) pula akan dibayar kepada kepada syarikat yang sebenar.

"Kenapa pegawai Pejabat Perdana Menteri yang terlibat? Yang lebih menimbulkan persoalan, kenapa Johari menyatakan dia tidak terlibat dalam rundingan penyelesaian pinjaman 1MDB dengan IPIC?" katanya.

Lihat Komen