malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
‘K’jaan lari tanggungjawab bela nelayan’
ADS

ULASAN l Baru baru ini Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani - Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyatakan kerajaan mencadangkan menaikkan pendapatan nelayan kepada RM5,000 sebulan menjelang tahun 2020!

Ini adalah satu sasaran yang agak amat sukar untuk dicapai dalam masa tiga tahun memandangkan kebanyakan nelayan masih di antara termiskin di Malaysia!

Sorting out the catch at Bagan Sungai BesarBila muncul musim pilihan raya menteri dan kerajaan ghairah menabur janji dan projek dengan "pulangan mewah" untuk menarik sokongan nelayan.

Berapa banyak sudah projek ‘aquaculture’ seperti di Setiu Terengganu yang gagal. Ini semua semata-mata menawar projek gula-gula untuk memancing undi nelayan.

Apa yang sangat diperlukan oleh nelayan adalah untuk menambah ikan di perairan kita yang dicuri dan peralatan serta perangkap ikan mereka yang dimusnahkan oleh bot pukat tunda haram nelayan asing Vietnam.

Sudah zaman berzaman masalah ini tidak di tangani oleh beberapa menteri dari masa Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Ismail Sabri dan kini Ahmad Shabery pula dari Terengganu yang mempunyai komuniti nelayan yang besar.

Gaji hanya RM400 sebulan

Kalau peruntukan minyak rondaan bot pihak berkuasa untuk menjaga keselamatan nelayan pun tidak mencukupi, di manakah kesungguhan pihak kerajaan? Untuk mengalih pandangan dan memberi "janji baru" projek ‘aquaculture’ pula dijanjikan.

Angka disebut menteri iaitu RM1,500 hingga RM2,000 pendapatan majoriti nelayan amat diragui. Sebagai menteri yang berasal dari Terengganu, beliau sepatutnya lebih maklum realiti sebenarnya kebanyakan nelayan kampung yang masih di tahap pendapatan RM400 sebulan.

Kajian oleh pihak Universiti Malaysia Terengganu - UMT, menemui nelayan yang pendapatan mereka kurang dari RM400 di kawasan Kg Seberang Takir yang terletak bersebelahan kawasan menteri besar Terengganu sekarang yang juga hampir dengan ibu negeri bandaraya Kuala Terengganu!

Weighing the catch at Bagan Sungai BesarAdakah menteri pertanian dan menteri besar Terengganu mengetahui realiti hasil kajian dari universiti-universiti yang bertempat di Terengganu sendiri?

Hentikanlah janji-janji projek musim pilihan raya dan hadapilah realiti penderitaan keluarga nelayan tempatan yang telah begitu lama belarutan!

Sejak saya berada di parlimen tiap -tiap tahun saya menimbulkan isu nelayan, khususnya masalah nelayan Terengganu di Pantai Timur. Pada sessi terbaru parlimen pada 22 Mac satu perbahasan yang hangat isu nelayan berlangsung di antara menteri pertanian dan industri asas tani dengan saya, di Dewan Parlimen.

Harapan nelayan-nelayan Terengganu dan saya sendiri amatlah tinggi sejak Ahmad Shabery, ahli parlimen Kemaman dilantik menjadi menteri pertanian, kerana beliau berasal dari Terengganu.

Malangnya kami dihampakan. Sejak saya berada di Parlimen setiap tahun saya membawa wakil nelayan ke Parlimen berjumpa menteri berkenaan, termasuk tahun lepas untuk berjumpa Ahmad Shabery.

Bot peronda usang

Oleh sebab kerajaan gagal menangani isu asas masalah nelayan yang terlalu lama tertangguh, berlakulah perbahasan hangat bulan Mac baru-baru ini.

Di antara isu-isu yang kami bangkitkan adalah berkaitan pencerobohan nelayan asing Vietnam, pengunaan pukat tunda secara haram yang menyebabkan pupusnya sumber ikan dan kerosakan perangkap nelayan tempatan, rondaan untuk kuatkuasa dan keselamatan nelayan tempatan.

Mereka bukan meminta tambahan subsidi tetapi perkara paling asas iaitu penguatkuasaan dan keselamatan yang memang menjadi tanggungjawap kerajaan yang telah terlalu lama diabaikan.

Hasil pengabaian kerajaan selama ini menyebabkan ikan amat berkurangan dan harga ikan pun makin naik. Ikan adalah sumber protein utama kebanyakan orang Terengganu terutamanya golongan pendapatan sederhana dan rendah.

Tuntutan serta cadangan kami dipandang remeh oleh menteri dan pihak berkuasa. Isu rondaan pihak keselamatan yang amat lemah yang berpunca dari tidak cukup peruntukan minyak bot ronda sehingga hari ini tidak ditangani begitu lama.

Sudahlah bot rondaan pihak berkuasa usang dan berusia lebih dari 40 tahun berbanding dengan bot nelayan Vietnam yang berkuasa tinggi, peruntukan minyak pun tidak mencukupi.

Penyelerasaan di antara pihak-pihak penguatkuasa Marin Laut, Jabatan Perikanan dan Polis Marin amat mendukacitakan dengan masing-masing menyalahkan satu antara lain tanpa penyelesaian sehingga kini.

Bukti apa lagi?

Mereka meminta nelayan pula memberi bukti yang lengkap di tengah-tengah laut untuk mereka bertindak dengan gambar dan bukti lain yang cukup.

Gambar-gambar telah dihantar tanpa tindakan sepatutnya bertahun tahun. Cadangan kami untuk gunakan "drone"- kapal terbang kecil pemantau, tidak diterima dan di perlekehkan oleh menteri di Parlimen semasa perbahasan bulan Mac baru baru ini.

Sekarang ini nelayan telah mengambil video - bukti bot Vietnam menceroboh yang telah diviralkan luas.

Ramai yang melayari laman internet telah melihatnya . Apa lagi bukti menteri nak tuntut dari nelayan sekarang ini?

Saya minta menteri tumpu perhatian isu masalah utama nelayan Vietnam yang menceroboh perairan kita dan keselamatan nelayan tempatan.

Masalah lama zaman berzaman dan sedia ada perlu di atasi dahulu dan cadangan projek baru Ahmad Shabery ini belum tentu nasibnya.

Janganlah lari dari tanggung jawab utama dan cuba mengalih pandangan kepada projek baru pula dengan janji pendapatan RM5,000 yang tidak munasabah atau realistik.

Jangan yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran, kerana akibatnya akan ditanggung oleh nelayan yang sudah pun di antara golongan termiskin.

Bilakah nasib nelayan akan dibela dengan kesungguhan politik - ‘political will’ dan azam yang ikhlas kerajaan?


RAJA BAHRIN SHAH adalah ahli Parlimen Kuala Terengganu dari AMANAH.

Tulisan ini pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 

Lihat Komen