malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN l Maka gegak gempitalah kemenangan Anies Baswedan sebagai simbol Islam telah menang. Kemenangan meleret sehingga ke ceruk-rantau bandar besar sampailah ke Temerloh di Pahang.

Ahok - pemimpin berbangsa Cina Indonesia yang nama sebenarnya pun tidaklah menampakkan beliau itu berbangsa Cina telah kalah teruk ditinggalkan pesaingnya sehingga majoriti 16 peratus.

Begitulah adat permainan politik. Namun isu kekalahannya selepas beliau didakwa menghina Islam melangkaui kemenangan regu pesaingnya; Anies Baswaden-Sandiaga Uno.

Selalunya kalah-menang akan sangat bergantung kepada rupa bentuk sentimen dan persepsi yang berjaya dimainkan.

Ahok yang pernah menjadi wakil (timbalan) gabenor mendampingi Jokowi telah hampir berjaya memenangi pusingan pertama pilihanraya memilih gabenor ibu kota Jakarta selepas beliau menduduki jawatan tersebut menggantikan Jokowi yang memenangi pilihan raya presiden tahun 2014.

Beliau kemudiannya dilantik menjadi gabernor menggantikan Jokowi pada November 2014.

Berbeza ulasan

Sewaktu saya di Jakarta pada hari berlakunya demonstari besar-besaran rakyat Indonesia membantah kenyataan Ahok, rata-rata yang saya temui mendakwa demonstrasi tersebut sekadar wayang gambar yang bertujuan menjatuhkan Jokowi - Presiden Indonesia yang dikatakan berjaya melakukan reformasi menyeluruh dan cuba menghapus kepimpinan korupsi di Indonesia.

Kata mereka lagi, isu utamanya bukanlah Ahok yang didakwa mempersenda Islam.

Isunya berkait dengan kedudukan Presiden Jokowi. Menjatuhkan Ahok bermakna memberi signal penentangan kepada pentabiran reformasi yang sedang dibuat Jokowi.

Ramai pedagang korupsi lelah dengan kepimpinan keras dan tegas Jokowi. Maka, seperti juga di Malaysia, agama menjadi modal paling epik untuk dipertaruhkan menjatuhkan pemimpin.

Bagi sesetengah dari mereka, Ahok yang pernah sekali-sekala diangkat oleh ahli politik pembangkang adalah gabernor reformasi di Jakarta.

Malah, kemenangan pusingan pertama beliau bagai dijangka semasa saya di sana lagi kerana prestasinya membenteras korupsi, pembangunan semula ekonomi dan jalanraya-jalanraya utama di Jakarta.

Islam menang?

Kekalahan Ahok bukan bermakna kekalahan seorang pemimpin bukan Islam yang didakwa menghina Islam. Kekalahan Ahok adalah kejayaan pendukung esktremis Islam yang mempotretkan beliau sebagai penentang Islam.

Lihat saja apabila beliau dipersenda dengan ugutan-ugutan yang tidak wajar dan tidak sepadan dengan wajah Islam yang dibawa penentang-penentangnya.

Kekalahan Ahok adalah kerana mereka telah menjual agama dan menggunakannya sebagai alat untuk memenangi pilihan raya.

Agama menjadi barang dagangan sakti yang boleh ditawar untuk sebuah kuasa dan jawatan.

Agama telah berjaya menjadi butir-butir peluru memecah tembok kesederhanaan dan toleransi yang dianjurkan dalam agama Islam.

Metod menggunakan agama sebagai jalan memenangi pilihanraya sebenarnya telah lama membugar mekar di Malaysia dan ianya makin mengembang menjelang PRU14 yang akan datang.


NOR MISWARY RAMLI adalah setiausaha, cawangan DAP Subang Jaya.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen