Kerajaan digesa tetapkan harga siling petrol

(Dikemaskini )

Susulan kenaikan untuk minggu ketiga berturut-turut, kerajaan digesa menetapkan harga siling petrol serta mendedahkan data-data yang digunakan dalam pengiraan harga runcitnya.

“Ketelusan ini juga diharap selain dapat mendidik rakyat tentang perkembangan semasa,” kata Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohd Sany Hamzan.

“(Ia) boleh menambahkan akauntabiliti ke atas kerajaan untuk menguruskan harta negara dengan penuh berintegriti dan adil, tanpa didorong oleh agenda politik kepartian terutamanya pada masa sekarang ini.”

Langkah itu dicadangkan bagi mengelakkan rakyat terbeban, sekali gus mengekang inflasi yang berlaku disebabkan kesan kenaikan harga bahan api.

Kadar inflasi pada bulan ini mencecah 5.1 peratus – yang tertinggi dalam tempoh lapan tahun terakhir.

Dalam kenyataan hari ini, Sany berkata kenaikan harga bahan api telah menjadi pemula kepada rantaian kenaikan barang-barang dan perkhidmatan lain.

Ia juga sekali gus didakwa memberi kesan berganda akibat cukai barangan dan perhidmatan (GST) yang diperkenalkan dua tahun lalu.

“Peningkatan harga jualan runcit secara berterusan dari minggu ke minggu seolah-olah telah menjadi rutin kerajaan BN, tanpa merasakan ia adalah satu tindakan yang jelik hingga menyebabkan rakyat semakin terbeban dengan kos sara hidup yang terus meningkat,” katanya.

Kelmarin, harga runcit RON95 naik lagi 3sen dan bahan api RON97 pula naik 2sen, menjadikan RON95 kini dijual pada harga RM2.27 seliter dan RON97 pula RM2.54 seliter.

Diesel dijual pada RM2.21 seliter, peningkatan sebanyak lima sen.

Harga runcit bahan api ditentukan berdasarkan purata mata wang Mean of Platts Singapura (MOPS ) minggu sebelumnya.

Harga minyak mentah global menunjukkan peningkatan berikutan perjanjian oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (Opec) serta negara-negara bukan OPEC untuk mengurangkan pengeluaran.


Artikel berkaitan

Share