malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
6 tuduhan buat Adam Rosly
Diterbitkan:  Apr 21, 2017 1:11 PM
Dikemaskini: 7:51 AM
ADS

Ketua Pemuda PKR Ampang, Datuk Adam Rosly Abdulllah menghadapi enam tuduhan memberi keterangan dan dokumen palsu kepada pihak berkuasa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Dia didakwa memberi keterangan berkenaan untuk memperdaya pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Untuk tuduhan memberi keterangan palsu, Adam Rosly berdepan dua tuduhan mengikut Seksyen 32 (8) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Empat lagi tuduhan dibuat mengikut seksyen 89 akta sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 10 dan 22 Februari tahun ini.

Adam Rosly, 29, mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan selepas tuduhan dibacakan kepadanya di depan hakim Allaudeen Ismail.

Hakim memutuskan 29 Mei ini untuk tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Mengikut peruntukan undang-undang Adam Rosly boleh dihukum penjara sehigga lima tahun, atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan

Allaudden kemudian membenarkan Adam Rosly diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin.

Dia juga dikenakan syarat tambahan, iaitu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Nama Adam Rosly mula menjadi sebutan selepas Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menyewa helikopter untuk membawa media melihat kediaman pemimpin muda PKR itu pada 15 November tahun lalu.

Kata Jamal, pemuda itu memiliki banglo dan pelbagai kereta mewah walaupun baru sepenggal memegang jawatan dalam parti.

Ekoran pendedahan itu beberapa pihak menggesa siasatan dijalankan.

Pada 10 Februari lalu Adam Rosly menghabiskan masa selama kira-kira empat jam di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi memberi keterangan berhubung siasatan yang dijalankan ke atasnya.

Pada 22 Februari Adam Rosly sekali lagi dipanggil memberi keterangan kepada agensi antirasuah berkenaan yang menyiasat mengenai sumber kekayaannya.

Kata Adam Rosly, beliau menyerahkan dokumen lengkap seperti diminta oleh SPRM dan memberi keterangan mengenai perkara itu.

Pada 13 April lalu dia akhirnya ditahan reman sebelum didakwa hari ini.

Lihat Komen