malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Permaisuri Johor: Hormat sama kepada bukan Islam
Diterbitkan:  Apr 20, 2017 4:07 PM
Dikemaskini: 8:11 AM
ADS

Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah mahu umat Islam di negara ini menunjukkan rasa hormat yang sama kepada warga yang tidak seagama dengan mereka.

Menulis di Facebook hari ini, Raja Zarith Sofia berkata umat Islam di Malaysia adalah "bernasib baik” kerana mereka tidak tahu bagaimana rasanya menjadi sebahagian daripada kumpulan minoriti.

“Bagi kita yang pernah belajar atau menetap di luar negara, kita tahu apa rasanya menjadi ahli kumpulan minoriti, dan kita belajar untuk menyesuaikan diri.

“Pada masa yang sama, kita dapat melihat kebaikan dan penerimaan mereka-mereka yang beragama Kristian, Yahudi, atau penganut agama lain, apabila kita berada di negara mereka.

“Saya masih ingat melihat gambar Zaharah Othman, wartawan NST di London, sewaktu beliau memakai tudung di gereja.

“Dan beliau juga memberitahu saya bagaimana beliau telah ditawarkan untuk menunaikan solat di gereja-gereja ketika itu,” katanya.

Baginda juga teringat kembali ketika anakanda sulungnya pada penghujung tempoh perkhidmatan dengan tentera India dan akan meninggalkan India, rakan-rakannya membawanya ke masjid tentera.

“Walaupun mereka beragama Hindu namun mereka telah menunjukkan rasa hormat mereka dengan menutup kepala menggunakan sapu tangan, dan membuka serta meninggalkan kasut mereka di luar masjid.

“Kita sebagai muslimin dan muslimat perlu menunjukkan rasa hormat yang sama kepada warga Malaysia yang tidak seagama dengan kita,” katanya.

Ketika artikel ini diterbitkan, posting berkenaan digemari lebih 1,000 kali dan dikongsi lebih 140 orang.

Lihat Komen