malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Shafie sedia bantu SPRM
Diterbitkan:  Apr 20, 2017 11:20 AM
Dikemaskini: 3:27 AM
ADS

Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal menegaskan beliau bersedia untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada bila-bila masa sahaja untuk memberikan keterangan.

Ketegasan Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) itu dipercayai ada hubungan dengan siasatan SPRM terhadap pembelian sebuah harta tanah oleh MARA Incorporated di Melbourne Australia.

Badan itu adalah anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (MARA) yag terletak di bawah kementerian pernah ditadbir Shafie.

Kata Shafie, beliau berasa terpanggil untuk memberi reaksi terhadap beberapa kenyataan yang sedang tular di media massa dan media sosial baru-baru ini.

Isu itu, kata Shafie, mengaitkan namanya sebagai anggota parlimen yang pernah memegang jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Menurutnya, beliau difahamkan kes berkenaan masih lagi dalam proses siasatan SPRM namun ia tidak menghalangnya memberikan kerjasama jika perlu.

"Saya sedia memberi kerjasama pada bila-bila masa sekiranya pihak berkuasa memerlukan maklumat bagi membantu siasatan berhubung kes itu,” kata Shafie dalam satu kenyataan.

SPRM kini dilaporkan sedang meneliti maklumat baru berhubung dakwaan salah laku seorang bekas menteri yang dikaitkan dengan pembelian sebuah harta tanah berkenaan.

Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Azam Baki berkata, siasatan kes pembelian harta tanah berkenaan dijangka mengambil masa sehingga hujung tahun ini susulan maklumat baru diterima badan siasatan itu.

Setakat ini 24 saksi sudah dipanggil dan SPRM telah menjalankan siasatan di lebih tujuh lokasi premis termasuk pejabat peguam, penilai dan pejabat MARA serta yang berkaitan dengannya, selain banyak dokumen sudah dirampas.

Shafie adalah menteri bertanggungjawab ketika MARA mengambil keputusan untuk membeli harta tanah berkenaan dua tahun lalu.

Lihat Komen