Tujuh tumpuan Muktamar PAS ke-63


(Dikemaskini )

ULASAN | Menjelang perhimpunan agung tahunan PAS hujung April ini, ada banyak isu yang mengundang perhatian umum.

Ia bukan sekadar hal-hal berkaitan kepentingan ahli PAS, malah bakal diperhatikan oleh parti lain.

Muktamar ke-63 PAS di Alor Setar, Kedah mulai 29 April ini dijangka menarik walaupun ia nampak bebas daripada kontroversi seperti sebelum ini.

Antaranya, beberapa perkara berbangkit dan masih terumbang-ambing kerana belum diputuskan oleh parti ketika semua pihak bakal melalui demam pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Berikut adalah antara isu yang dijangka menghangatkan muktamar berkenaan:

Hubungan dengan PKR, BERSATU
Kerjasama politik atau tahaluf siyasi antara PAS dan PKR kini bagai telur di hujung tanduk. Ia berlaku selepas satu demi satu pimpinan PAS kawasan meluluskan usul supaya kerjasama berkenaan ditamatkan.

Malah, perkara itu sebenarnya sudah diputuskan oleh Dewan Muslimat PAS pada muktamar parti itu di Kota Bharu tahun lalu.

Baru-baru ini kesemua 13 kawasan PAS Pulau Pinang sebulat suara meluluskan usul itu selepas menilai tindakan PKR sepanjang waktu hubungan politik mereka wujud.

Namun, PAS dilihat perlu membuat keputusan sukar sekiranya benar-benar mahu memeutuskan hubungan dengan PKR dalam masa terdekat susulan kedudukan wakil rakyatnya dalam kerajaan Selangor.

Selain itu, PAS juga perlu menyentuh mengenai hubungan mereka dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) selepas tiada keputusan konkrit diambil setakat ini.

Hubungan dengan Umno, dasar Melayu
Isu ini popular diperkatakan kerana hubungan PAS - Umno dilihat semakin akrab dari sehari ke sehari, walaupun kebanyakannya diatasnamakan oleh kepentingan Islam.

Persoalannya terus muncul di seputar tuduhan-tuduhan dilempar dan isu semasa.

Apakah ia akan diteruskan dalam konteks kerjasama politik bagi menghadapi PRU ke-14?

Selain itu, PAS juga dilihat bergerak ke dasar perjuangan memberi keutamaan kepada bangsa Melayu dan Islam. Pada PRU lalu, PAS begitu terbuka dan berjaya menarik pengundi bukan muslim mengundinya melalui Pakatan Rakyat.

Namun, pada muktamar tahun lalu, PAS seolah-olah muncul dengan ruh baru. Tampil secara simbolik dengan busana pahlawan Melayu - siap bertanjak dan berkeris - ia boleh ditafsir sebagai memperlihatkan betapa kasihnya PAS kepada keaslian tradisonal Melayu.

Apakah gelombang kemelayuan akan terus menjadi 'buah kilas' PAS dalam menghadapi kemungkinan situasi baru mereka, lebih-lebih lagi untuk berjalan bersendirian?

RUU355
Selepas berjaya dibentangkan pada sidang parlimen lalu, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 - atau Akta 355 - di Dewan Rakyat pasti akan terus diperhalusi oleh kepimpinan PAS dengan sudut pandang pelbagai.

Walaupun sudah dibentang, namun rang undang-undang Akta 355 (RUU355) itu belum dibahaskan. Pemerhati berpendapat, usul tersebut akan menjadi modal besar untuk PAS menarik perhatian pengundi menjelang PRU ke-14 kelak.

Justeru, pada muktamar kali ini PAS dilihat perlu merencana perbincangan lebih mendalam bagi memperkemaskan serangan-serangan lawan terhadap RUU355.

Selain itu, apakah mekanisme baru yang perlu diberi perhatian oleh kepimpinan mereka untuk menarik sokongan wakil-wakil rakyat lain bagi memberi sokongan terhadap usul itu?

PRU14
Sebagai muktamar PAS terakhir sebelum PRU ke-14, isu bagaimana hala tuju parti itu menghadapi gelombang pesta demokrasi turut akan mencuri tumpuan perwakilan dan pemerhati sama ada dari dekat mahupun jauh.

Apakah PAS akan memberi gambaran lebih jelas bilangan kerusi yang akan dipertandingkan selain menentukan apakah bentuk kerjasama akan diambil untuk mempertahankan kerusi-kerusi mereka?

Apakah PAS benar-benar bersedia bersendirian selepas tidak lagi berada dalam Pakatan Harapan? Atau mereka akan memperkuatkan kedudukan dengan kerjasama dengan pihak lain dengan mekanisme tersendiri?

Kepimpinan Hadi
Bermula pada 2002 Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah meneraju PAS selama kira-kira 15 tahun.

Tempoh itu sekali gus menjadi jangka terpanjang dalam sejarah seseorang pimpinan PAS. Belum pernah ada seorang ketua mengepalai PAS selama Abdul Hadi setakat ini.

Muktamar kali ini menyaksikan Abdul Hadi kekal selesa dengan menang tanpa bertanding untuk jawatan tersebut.

Anggota parlimen Maran itu juga dilihat memperkemaskan legasinya melalui anaknya, Muhammad Khalil, yang akan memimpin Dewan Pemuda PAS sepanjang sesi 2017-2019 selepas menang tanpa bertanding juga.

Selain Muhammad Khalil, legasi kepimpinan Abdul Hadi bakal berada di barisan ahli jawatankuasa kerja PAS melalui menantunya, Zaharuddin Mohamad.

Justeru, pada usia 70 tahun, apakah langkah seterusnya buat Abdul Hadi?

Nasib Mahfuz dan 'kawan-kawan'
Datuk Mahfuz Omar adalah ahli PAS yang begitu lantang mengkritik kepimpinan dan hala tuju parti itu kebelakangan ini.

Beliau bukanlah sembarangan. Mahfuz pernah menjadi naib presiden, selain ketua pemuda dan ketua perangan. Di peringkat pusat beliau pernah memberikan khidmat kepada parti melalui pelbagai jawatan penting.

Di sebalik kelantangan Mahfuz - dan kecaman demi kecaman PAS terhadapnya kini - belum ada sebarang hukuman dijatuhkan ke atas anggota parlimen Pokok Sena itu serta beberapa tokoh yang dililihat sealiran dengannya.

Nasib mereka - setakat ini - nampaknya berbeza dengan seorang lagi bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Mahfuz dan kawan-kawan yang seangkatan dengannya belum lagi bertindak meninggalkan PAS atas alasan masih ada rasa sayang kepada parti berkenaan.

Namun keadaan itu mengundang pertanyaan: Mengapa? Adakah kerana dibatasi larangan dan sekatan tertentu, seperti baiah?

Kedudukan ADUN PAS di Selangor
Ini antara isu yang memberatkan PAS. Dalam kerajaan negeri, ada tiga wakil rakyat PAS diberi kepercayaan menganggotai kabinet diketuai Datuk Seri Azmin Ali.

Mereka ialah Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib.

Kewujudan mereka di tempat yang ada sekarang adalah hasil tahaluf siyasi PAS dengan PKR - dan tidak dapat tidak - serta DAP. Keputusan menamatkan kerjasama itu pasti menyebabkan kedudukan mereka dalam kerajaan negeri akan berubah.

Justeru, PAS perlu memikirkan kebarangkalian mereka akan menarik diri daripada kerajaan negeri atau sebaliknya terus kekal demi kepentingan tertentu sehingga PRU ke-14.

Share