malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis cermati usaha India tangkap Zakir
Diterbitkan:  Apr 18, 2017 8:03 PM
Dikemaskini: 12:12 PM
ADS

Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan terburu-buru bertindak ekoran kemungkinan pihak berkuasa India akan memohon Interpol mengeluarkan notis tahap merah terhadap pendakwah, Zakir Naik.

"Kita tunggu sehingga ia benar-benar berlaku," kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini.

Khalid diminta mengulas mengenai tindakan akan diambil oleh PDRM jika India mendapatkan bantuan Interpol bagi mengeluarkan waran bagi menahan Zakir.

Notis Interpol adalah makluman diedar badan polis antarabangsa untuk berhubung dengan pihak berkuasa sesebuah negara mengenai isu jenayah atau ancaman penjenayah.

Notis tahap merah pula bermaksud permohonan untuk mengesan lokasi seseorang yang dikehendaki sesebuah negara dan menahannya.

Zakir yang terkenal sebagai pendakwah yang lincah berhujah dengan membuat perbandingan antara ajaran Islam dan agama lain.

Pada sebahagian ceramah Zakir, ada beberapa orang akan mengucap syahadah untuk memeluk Islam.

Bukan ancaman bom

Dia dikehendaki pihak berkuasa India atas tuduhan melibatkan aktiviti pengubahan wang haram dan keganasan.

Hari ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan Zakir memiliki status pemastautin tetap (PR) Malaysia sejak kira-kira lima tahun lalu.

Menurut Khalid, seseorang yang memiliki status PR atau pelawat mesti sentiasa mematuhi undang-undang negara ini.

"Itu paling penting," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain Khalid menjelaskan kegemparan di luar bangunan Wisma Bernama di Kuala Lumpur semalam bukanlah bom.

"Dalam kes ini, ia bukan ancaman bom. Ada seseorang nampak satu botol berbalut kain dan menyangka ia bom.

"Ia bukan macam seseorang membuat ancaman dengan berkata: Saya ada letak di sana dan saya akan letupkannya. Bukan begitu," katanya.

Bagaimanapun Khalid memuji langkah orang awam merujuk kes itu kepada polis dan mengingatkan semua pihak agar sentiasa berwaspada.

[Baca berita asal]

Lihat Komen