malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

ULASAN Antara isu yang dibangkitkan dalam debat pusingan akhir pemilihan datuk bandar Jakarta minggu lalu adalah projek tambak laut di pesisir Jakarta Utara. Projek itu antara projek mega yang diteruskan bawah datuk bandar Basuki Cahya Purnama.

Di Indonesia, Basuki lebih dikenali dengan panggilan Ahok.

Dia menjadi datuk bandar secara tidak langsung apabila mengambil alih daripada Jokowi yang menang dan diangkat sebagai presiden tiga tahun lalu. Sebelum itu, Ahok adalah timbalan dan Jokowi adalah datuk bandar.

Ada beberapa pihak yang cuba mengaitkan Ahok yang dikatakan ada kepentingan langsung dan tidak langsung dengan projek tambak laut itu. Maknanya, ada kecenderungan pelakuan korupsi atau rundingan gelap walaupun ia sukar dibuktikan dengan jelas.

Lebih dari itu, bantahan juga kuat datangnya daripada penduduk kampung pesisir laut di kawasan terlibat. Protes muncul di kalangan nelayan yang terjejas mata pencarian. Lama kelamaan, para nelayan dan keluarga mereka juga dikatakan akan tersisih terus daripada kawasan penempatan asal.

Sama ada Ahok kalah atau menang, nasibnya akan ditentukan minggu ini. Dia dan calon timbalannya, Djarot Saiful Hidayat terpaksa melalui pusingan kedua pemilihan. Maknanya, mereka tidak mendapat laluan mudah dalam satu pusingan sahaja untuk berdepan dengan pasangan Anes Baswedan dan Sandiaga Uno.

Kritikan keras juga dihalakan ke arah Ahok yang mengusur banyak kawasan setinggan. Penduduk miskin walaupun dikatakan diberikan rumah flat, tetapi kawasan asal mereka diberikan pula kepada syarikat besar untuk membangunkan projek mega seperti kondominium mewah. Kemudiannya projek itu dijual kepada warga asing, termasuk banyaknya dari China.

Itu urusan di Jakarta dan serba sedikit cerita mengenai dasar Ahok yang pro syarikat besar selain projek tambak laut.

Di Malaysia beberapa projek tambak laut juga mula dijalankan secara besar-besaran. Ketika Umno Pulau Pinang membantah projek tambak laut di negeri itu, tetapi pemimpin parti itu tetap diam membisu bahkan terlibat meluluskan projek seumpama yang jauh lebih besar seperti di Johor dan Melaka.

Kerajaan Pulau Pinang sebelum ini bercadang membangunkan tiga pulau buatan yang dikatakan meliputi keseluruhan kawasan seluas 1,100 ekar.

Sebelum ini, projek seperti Forest City di Johor Bahru mendapat perhatian apabila dikatakan akan menjadi wilayah di mana lebih 90 peratus pemilik kediaman adalah warga asing, khususnya dari China. Projek itu jauh lebih besar berbanding apa yang dilaksanakan di Pulau Pinang, yakni melebihi 1,380 hektar.

Dalam riuh-rendah projek Forest City, ramai mungkin tak sedar bahawa ada satu lagi projek yang sebenarnya telah dirancang agak lama di Melaka. Projek berkenaan dikenali sebagai Melaka Gateway—juga projek pembangunan bercampur yang bakal memiliki apartmen atau kediaman mewah, bangunan komersial, hotel, pusat pelancongan dan sebagainya.

Siapa pembeli?

Tentulah timbul persoalan sama, siapakah yang akan membeli dan memiliki semua hartanah di atasnya kelak?

Mungkin masuk akal apabila Jakarta terpaksa membuat penambakan laut apabila jumlah populasi kota raya itu melebihi 10 juta orang, atau bersamaan satu pertiga daripada keseluruhan penduduk Malaysia.

Sukar pula untuk kita memikirkan untuk siapakah Melaka Gateway itu dibina apabila penduduk Melaka keseluruhannya tidak sampai 850,000 orang? Samalah keadaannya di Johor yang mempunyai wilayah lebih luas tetapi populasi sekitar 3.5 juta atau kira-kira separuh daripada penduduk Lembah Klang.

Menurut rekod, projek Melaka Gateway sudah pun dilancarkan kira-kira tiga tahun lalu oleh Perdana Menteri Najib Razak. Projek berkenaan juga dikatakan sudah dimulakan pada tahun lalu sejurus mendapat suntikan dana juga daripada syarikat China.

Pada mulanya, projek berkenaan diberikan atas cadangan sebuah syarikat tempatan. Syarikat itu sebelum ini memang mempunyai beberapa projek Melaka, seperti pengurusan zoo dan taman burung di negeri itu.

Hanya apabila mereka berjaya membawa masuk pelabur dari China, maka Melaka Gateway pun segera dimulakan tahun lalu. Projek itu dijangka bernilai lebih RM30 bilion, atau AS$7.2 bilion. Sekiranya projek di Pulau Pinang dikatakan akan memberi impak kepada alam sekitar selain para nelayan, tentulah projek seperti di Johor dan Melaka lebih jauh kesannya kerana melibatkan kawasan lebih luas.

Selain bentuk pembangunan tadi, satu pelabuhan baru juga akan dibangunkan dengan kerjasama syarikat tempatan yang sama dengan tiga syarikat China iaitu PowerChina International, Shenzhen Yantian Port Group dan Rizhao Port Group.

Pelabuhan pertama di Melaka itu yang akan dikenali dengan nama Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) yang pada mulanya dikatakan akan memakan kos RM8 bilion. Namun ada laporan yang menyebutkan angka lebih besar daripada itu iaitu sebanyak RM12.5 bilion. Ia dijangka siap dua tahun lagi.

Apabila siap, Malaysia akan memiliki pelabuhan utama ke-8 di dalam negara ini. Antara pelabuhan lain yang sedia ada dan cukup dikenali termasuklah Pelabuhan Pulau Pinang, Pelabuhan Klang, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pelabuhan Pasir Gudang dan beberapa lagi. Apa yang aneh, semua pelabuhan di negara ini masih gagal menandingi walaupun satu sahaja pelabuhan yang ada di Singapura.

Keinginan membina satu lagi pelabuhan ketika ekonomi Malaysia tidaklah begitu baik dan ringgit berada dalam keadaan sangat lemah menjadikan Malaysia perlu sekali lagi mengadap dan mendapatkan dana China. Kesempatan ini memanglah sangat dinanti-nanti negara yang berideologi Komunis itu.

Laluan sutera abad ke-21

Kemasukan dan penguasaan syarikat China dalam projek strategik di negara ini memang diakui sebagai sebahagian daripada agenda “laluan sutera abad ke-21” atau dikenali sebagai projek “One Belt, One Road”. Agenda penguasan ekonomi oleh China itu dilancarkan presiden Xi Jinping pada 2013.

Dalam tempoh kurang tiga tahun ini sahaja, pelaburan China di Malaysia melalui pelbagai syarikat milik negara itu dianggar melebihi RM300 bilion, antara yang terbesar adalah di Forest City, laluan pembinaan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), penguasaan Bandar Malaysia dan Melaka Gateway.

China kini melalui syarikat-syarikatnya dikatakan akan melabur di beberapa negara yang sudah dikenal pasti seperti Malaysia dan akan membantu selain cuba menguasai khususnya dalam pembinaan insfrastruktur seperti pelabuhan, kereta api, lapangan terbang, empangan dan projek hartanah. Dalam masa sama, mulai ada negara di Asia dan Afrika yang gagal membayar hutang akhirnya melepaskan kepentingan lain untuk menebus kegagalan projek asal.

Malaysia dianggap sangat penting untuk China dalam menjayakan agenda dan projek “One belt, One Road” kerana kedudukan negara ini yang mempunyai laluan laut penting bagi kapal-kapal dagang iaitu di Selat Melaka dan Laut China Selatan. Sekali lagi perlu diingatkan bahawa China kini juga sedang membina pangkalan tenteranya di kawasan berbalah di laut China Selatan.

Malaysia pula terus membisu atas isu berkenaan. Jadi persoalannya adalah, siapakah yang telah berunding dengan pihak asing demi mendapatkan bantuan dana dan pelaburan sehingga kepentingan dalam negara terasa mulai tergadai? Semua projek termasuk penambakan laut dilakukan ketika satu persatu syarikat dalam negara seperti FGV dan 1MDB mengalami kerugian besar.

Kita tak fikir—atas nama agama dan Islam sekalipun—kelemahan begini boleh terus dibiarkan.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen