malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Doa dikirim dibaca di Makkah
Diterbitkan:  Apr 18, 2017 5:20 PM
Dikemaskini: 9:41 AM
ADS

Pengasas perkhidmatan membacakan kiriman doa di depan Kaabah, kini berada di Tanah Suci untuk beribadah sambil medoakan "yang baik-baik" untuk diri sendiri dan orang lain.

Dikecam pelbagai pihak dan pernah didakwa sebagai "penjual agama", Mohd Nasrin Harin berkata dia sedang mengerjakan umrah selama dua minggu.

Sambil beribadah dan berdoa untuk diri sendiri, katanya, dia turut menyampaikan doa orang lain yang dibacakan tanpa sebarang bayaran atau ditetapkan syarat.

"Kiriman doa orang lain pun ada, biasanya kan begitu...dikirim oleh orang lain kepada orang yang nak ke Makkah. Tapi saya tak letakkan harga, terpulang kalau ada yang nak sedekah," katanya dilapor portal berita mStar Online hari ini.

Ketika dihubungi itu, Mohd Nasrin berkata, dia sedang berada di Madinah.

Pada Februari lalu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad, menegur perkhidmatan Valet Doa ditawarkan Mohd Nasrin.

Antara yang ditegur Zulkifli ialah aspek pengiklanan yang berlebih-lebihan, serta keraguan dalam perniagaannya iaitu memberikan jaminan 100 peratus doa dikirim itu akan dimakbulkan.

"Berhubung ‘servis doa’, barang yang diniagakan dan diupahkan adalah kemakbulan doa sedangkan makbul atau tidaknya doa itu adalah hak Allah secara mutlak serta ia bersifat tidak jelas.

"Ia tetap tidak boleh dilakukan sekalipun ada jaminan wang dikembalikan. Ia juga tidak boleh diqiyaskan dengan badal (upah) haji kerana bukan haji mabrur yang diupahkan tetapi amalan badal haji itu sendiri yang boleh menerima upah," katanya.

Ada kenal, tak kenal

Menjawab teguran itu, Mohd Hasrin berata, dia tetap meneruskan perkhidmatannya walaupun berdepan kecaman orang ramai dan teguran ulama.

Katanya, kenyataan Zulkifli itu tidak menyebut dengan jelas sama ada perkara itu adalah haram atau tidak di sisi Islam.

“Ya (akan teruskan) sebab mufti pun tak berani cakap haram, sebab tidak langgar syariat. Cuma dia takut fitnah orang ke atas agama.

“Pendapat saya jika boleh dibuat dengan baik, jadikan contoh, ada kebaikan," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Mohd Nasrin, kedatangannya ke Tanah Suci ketika ini adalah atas kapasiti peribadi dan tiada kaitan dengan perkhidmatan valet doa.

Menjelaskan perjalanannya kali ini, dia berkata, ia bukan khusus untuk membacakan doa orang lain yang disampaikan kepadanya.

"Kebanyakan orang yang mengirim doa itu adalah ahli keluarga, kawan-kawan dan pengikut saya di Facebook. Ada yang saya kenal dan tak kenal," katanya.

Doa itu pula, kata Mohd Nasrin, dibacakan di lokasi umum dan tidak ditempat yang dietapkan pengirim.

Cuma pada kebanyakan ketika, katanya, dia dapat berdoa di depan Kaabah.

Pemergian Mohd Nasrin ke Tanah Suci sekarang juga secara bersendirian tanpa ahli keluarga, sebaliknya dia menyertai kira-kira 180 jemaah lain dari Malaysia.

Lihat Komen