malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bangkok mahu haramkan semua gerai jalanan
Diterbitkan:  Apr 18, 2017 3:11 PM
Dikemaskini: 7:16 AM
ADS

GLOBAL l Semua gerai jalanan di Bangkok akan diharamkan menjelang akhir tahun 2017, menurut kerajaan tempatan dan media negara itu.

Langkah itu akan memberi kesan kepada semua 50 daerah di ibu negara Thai, kata penasihat gabenor Bangkok, Wanlop Suwandee, menurut laporan akhbar The Nation.

Pengharaman itu dijadualkan berkuat kuasa semalam di tiga daerah kediaman dan komersil popular - Thong Lor, Ekkamai dan Phra Khanong.

Memandangkan gerai jalanan lazimnya dilarang daripada beroperasi pada hari Isnin, larangan itu dijangka berkuat kuasa hari ini.

Wanlop berkata, Chinatown dan Khao San Road akan menjadi sasaran seterusnya.

Namun, rancangan itu mencetuskan kemarahan dan kekecewaan di Bangkok yang terkenal dengan makanan jalanan.

Selama beberapa bulan pihak berkuasa perbandaran melakukan operasi terhadap gerai jalanan di seluruh metropolis itu, yang menjual pelbagai jenis makanan daripada hidangan mi lewat malam hinggalah serangga goreng.

"Semua jenis gerai termasuk pakaian, barangan tiruan dan makanan akan diharamkan daripada jalan-jalan utama.

“Mereka tidak dibenarkan beroperasi atas faktor ketenteraman awam dan kebersihan," kata Wanlop lagi.

Pihak berkuasa mendakwa gerai jalanan mengakibatkan laluan pejalan kaki sesak, mengganggu orang ramai yang lalu lalang selain jalan raya dipenuhi sampah sarap.

Namun ramai penduduk ibu kota ini berkata, huru hara itu adalah sebahagian tarikan dan budaya di bandar raya itu.

Bangkok dinamakan sebagai destinasi makanan jalan di dunia untuk tahun kedua berturut-turut pada bulan Mac, menurut CNN.

- Agensi

Lihat Komen