'Cukuplah sokong PAS di Kelantan'

Zaid Ibrahim
(Dikemaskini )

ULASAN l Orang muda yang bergiat untuk memperbaiki keadaan dalam masyarakat dan politik mesti ada idealisme, ada impian untuk membuat perubahan dan memberi sumbangan yang positif. Impian bukannya angan-angan.

Contoh angan-angan ialah nak ada kereta sport BMW atau nak kahwin wanita cantik seperti Neelofa. Impian pula berbentuk kolektif, disusuli usaha yang rapi, sesuatu yang diperlukan untuk kebaikan semua dan bukan bersifat peribadi bentuknya.

Bagi anak muda Kelantan, saya percaya mereka mahu kehidupan yang lebih baik. Negeri ini sudah terlalu lama hambar dan terbiar. Negeri ini perlu ada kegiatan ekonomi yang lebih bertenaga. Negeri ini perlu kepada pemimipin yang tahu selok-belok mentadbir dengan baik.

Anak muda mahu ekonomi yang mampu menyediakan pekerjaan kepada mereka. Mereka mahu pemimpin yang boleh membentuk sumber tenaga manusia yang berguna untuk masa depan.

Anak muda Kelantan mesti menyelamatkan keadaan ekonomi yang lumpuh di negeri ini. Anak-anak muda mesti berani menolak pemimpin yang ada hari ini kerana mereka jelas telah gagal dan tidak mampu membangunkan negeri ini.

Bukan pilih guru agama

Mereka sibuk dengan hukum hakam dan menjual balak dan tidak terdaya memikirkan bagaimana untuk menambah dana negeri. Mereka tidak peduli gejala sosial seperti dadah dan perceraian tidak terkawal .

Pilihlah pemimpin dengan baik, kalau tidak keadaaan sekarang tidak boleh diatasi lagi.

Pilihanraya ini bukan tempatnya untuk kita pilih guru agama atau orang pakai serban sebagai pemimpin. Kita telah ada terlalu banyak guru dan penceramah agama.

Tontonlah TV, youtube atau dengarlah radio, semuanya ada di sana. Mereka ini semua boleh mengajar fardhu ain dan fardhu kifayah. Malah boleh juga mengajar fekah dan tauhid.

Tetapi untuk menghasilkan sesuatu impian yang boleh mengubah keadaan dalam negeri dan masa depan kita, kita mestilah sanggup memilih pemimpin seperti Datuk Husam Musa dan rakan-rakannya yang telah terbukti ada kepakaran dan wawasan.

Kita mahu pemimipin yang boleh membangun ekonomi Kelantan. Kita mahu pemimpin yang dapat menuntut kembali royalti minyak untuk rakyat Kelantan selepas PRU 14 ini. Hanya dengan royalti itu kita akan ada modal untuk membangun semula negeri bertuah ini.

Rakyatnya mundur...

Perubahan ini mesti bermula dengan perubahan politik. PRU 14 adalah masa untuk rakyat Kelantan melakukan perubahan tersebut. Selagi PAS memerintah, selagi itulah negeri ini kotor, rakyatnya mundur dan pasar malam sahajalah tempat mereka mencari rezeki.

Rakyat mundur dalam semua segi kerana pemimipin PAS mahu terus mereka mundur, mundur pemikiran, mundur segala gala supaya takut dengan ajaran mereka dan terus membuta tuli akur dengan propaganda mereka.

Taktik mereka samalah seperti Umno. Pemimpin PAS hanya bercakap mengenai Akta 355, baiah, poligami serta bangga menangkap wanita memakai baju ketat.

Mereka tidak ada usaha lain untuk mentadbir dengan baik, menentang rasuah, tidak mampu untuk menyediakan peluang perkerjaan yang cukup atau menyelesaikan masalah banjir dan sebagainya.

Di bawah PAS, rakyat Kelantan tidak menentu tujuan dan haluan hidupnya dan masalah pengangguran, perceraian serta dadah akan berterusan.

Aset atau kelebihan negeri Kelantan bukan kerana emas dan hasil negeri yang banyak. Ia adalah bergantung kapada kebolehan orang Kelantan sendiri. Mereka terkenal dengan kebolehan berniaga, mencipta dan menghasilkan usaha kreatif mereka dalam hal budaya dan ilmu.

Diajar perkara karut

Suatu masa dulu orang Kelantan termasyhur di Nusantara. Merekalah pengasas budaya ilmu dan mereka juga kuat berniaga . Kalaulah mereka itu tidak ada kebolehan, masakan kerajaaan Acheh pada masa itu mengadakan hubungan ekonomi dan pelajaraan dengan Kelantan.

Masakan juga pelayar ulung zaman itu seperti Ibnu Batuta, Chen Ho dan lain-lainnya tidak melepaskan peluang melawat dan singgah di negeri ini. Masakan Munshi Abdullah yang menulis tentang kelemahan dan kekuatan orang Melayu berlayar dari Singapura untuk membuat kajian tentang masyarakat Kelantan.

Rakyat Kelantan mempunyai kebolehan luar biasa tetapi malangnya pemimpin PAS hari ini menutup segala naluri manusia Kelantan ke arah kemajuan. Mereka menjadi tidak bersemangat dan selalu diajar perkara yang karut.

Pemimpin mereka tidak membuka peluang yang sesuai untuk mencari rezeki.

Main kayu tiga

Mereka tidak diberi rangsangan dan semangat. Pembangunan ekonomi negeri seperti sudah mati, budaya dan sastera sudah mati, dan rakyat tidak lagi sanggup atau berani menjadikan negeri ini kuat seperi rakyat Kelantan di zaman dulu.

Kelantan hanya boleh bangkit jika kita ada pemimipin baru yang boleh memberi nafas dan pemikiran segar kepada rakyat Kelantan. Kekuatan Kelantan hanya bergantung kepada sejauh mana kita boleh membangun potensi sumber manusia dan kebolehan rakyatnya.

Bagaimanapun, ada rakan kita dalam Pakatan Harapan yang nampaknya mahu terus bekerjasama dan seolah-olah ingin PAS kekal memerintah Kelantan.

Dalam hal ini kita ingin mengingatkan mereka agar jangan main kayu tiga, malah hanya tindakan berkenaan hanya menyebabkan rakyat Kelantan berterusan menjadi mangsa.

Impian anak muda tidak akan mana dan terbengkalai jika PAS masih memerintah negeri ini.

Inilah cabaran kita hari ini. Saya harap kita semua berusahalah dengan gigih untuk pastikan Pas tidak lagi bertapak di bumi Kelantan.

Cukuplah masa diberi kapada mereka dan buatlah pilihan baru demi masa depan kita semua.


DATUK ZAID IBRAHIM adalah seorang peguam dan bekas anggota parlimen, senator dan menteri. Beliau pernah bersama Umno, PKR dan kini dengan DAP.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiakini.


Artikel berkaitan

Share