malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Muktamar PAS: Takiyuddin tarik diri
Diterbitkan:  Apr 16, 2017 2:44 PM
Dikemaskini: 6:53 AM
ADS

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, menarik diri daripada bertanding semua jawatan yang dicalonkan ke atasnya pada muktamar parti itu akhir bulan ini.

Dalam kenyataan medianya, Takiyuddin berkata, beliau melihat keserasian pada pimpinan PAS yang ada ketika ini.

Justeru, kata anggota parlimen Kota Bharu itu, beliau menarik diri daripada bertanding untuk jawatan parti itu bagi sesi 2017 - 2019.

"Saya yakin komposisi sedia ada ini akan mampu membawa PAS menuju masa depan yang lebih cemerlang, khususnya untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti," katanya.

Kini menjadi salah seorang tokoh kanan dalam parti, Takiyuddin dicalonkan untuk menjadi naib presiden dan anggota jawatankuasa pusat PAS pada muktamar ke-63 parti itu di Alor Setar, Kedah.

Muktamar itu akan berlangsung pada 29 April hingga 1 Mei ini.

Ketika ini jawatan naib presiden PAS diisi oleh Anggota Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad; Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Exco Selangor, Datuk Iskandar Samad.

Selain Takiyuddin, turut dicalonkan ke jawatan itu ialah Anggota Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan.

Penolakan pencalonan itu membayangkan Takiyuddin akan terus diberi kepercayaan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menjadi setiausaha agung PAS - suatu jawatan lantikan parti.

Malah Takyuddin turut menyatakan kesediaannya untuk terus berkhidmat melalui jawatan lantikan.

"Saya bersedia menerima sebarang jawatan lantikan yang difikirkan sesuai oleh presiden prti dan insya-Allah akan memberikan sumbangan terbaik sekiranya diberikan amanah tersebut nanti," katanya.

Lihat Komen