malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
11 resolusi Kongres Budaya jadi teras TN50
Diterbitkan:  Apr 15, 2017 7:04 PM
Dikemaskini: 11:13 AM
ADS

Kerajaan akan meneliti resolusi Kongres Budaya 2017 sebagai antara inti pati penting untuk dimuatkan dalam pembentukan dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Resolusi yang dipersetujui dalam kongres budaya ini, saya dan kerajaan akan ambil serius pandangan dan ia mesti diterapkan dalam TN50.

"Saya impikan masyarakat Malaysia yang moden. Saya berhasrat menjadikan Malaysia sebagai negara ke-20 terbaik di dunia bukan saja dari GNI (pendapatan kasar negara) perkapita tetapi dari segi ketinggian budaya dan maruahnya," katanya seperti dilapor BH Online hari ini.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Kongres Budaya 2017 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Kongres Budaya 2017 meluluskan 11 resolusi mengandungi inti pati bagi mempertahan dan menyemarakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi, Rukun Negara sebagai tiang seri negara bangsa, Perlembagaan Persekutuan dipertahan, kedudukan Majlis Raja-Raja serta capaian ekonomi Bumiputera.

Turut hadir dalam kongres berkenaan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Pengerusi Kongres Budaya 2017 yang juga Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim; Pengerusi Lembaga UKM, Tan Sri Dr Ibrahim Saat dan Naib Canselor UKM, Prof Datuk Seri Dr Noor Azlan Ghazali.

Sementara itu, Najib menjelaskan, pengaruh media sosial seperti YouTube, Facebook dan Twitter pada masa ini seakan memperhebatkan pengaruh budaya luar yang jauh acuannya berbanding budaya tempatan.

"Apatah lagi dengan penggunaan bahasa rojak yang sedikit sebanyak menghakis keutuhan Bahasa Melayu termasuk bahasa SMS (khidmat pesanan ringkas)," katanya.

Beliau berkata, cabaran besar kini untuk meletakkan kembali masyarakat ke landasan betul, khasnya dalam mewujudkan masyarakat berbudaya tinggi.

"Bagaimana juga nak bentuk satu kurikulum di sekolah tadika. Kurikulum macam mana dan bagaimana yang boleh memastikan supaya roh Rukun Negara dapat dihidupkan semula sebagai falsafah negara.

"Martabat Bahasa Melayu, polemik Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris serta bahasa lain. Kita martabat Bahasa Melayu tetapi kita tidak halang penguasaan bahasa kedua.

"Kita mahu semua rakyat tanpa mengira kaum mesti boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan baik," katanya.


 

Lihat Komen