malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Peguam Najib belum dapat maklumat saman AS$3.7 bilion
ADS

Peguam Umno Datuk Hafarizam Harun belum mendapat maklumat mengenai saman difailkan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berjumlah AS$ 3.7 bilion berikutan kerugian yang sama ditanggung 1MDB.

Hafarizam ketika dihubungi berkata beliau masih tidak mendapat sebarang maklumat mengenai saman yang difailkan Presiden Parti Bebas Rasuah, Datuk Mohamad Ezam Mohd Noor itu.

"Saya mohon maaf tidak boleh komen apa-apa kerana tiada maklumat atau dokumen saman itu.

"Juga saya tak pasti sama ada dokumen saman itu telah diserahkan, bila diserahkan dan sebagainya," katanya kepada Malaysiakini dalam satu kiriman teks hari ini.

Hafarizam berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau telah menerima arahan untuk mewakili saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Ezam yang juga bekas senator menyaman Najib atas kapasitinya sebagai menteri kewangan dan ketua eksekutif kerajaan Malaysia.

1MDB dan kerajaan juga dinamakan sebagai defendan, selain Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy dan 11 yang lain.

Ezam, yang diwakili peguam Farez Jinnah, mendakwa mereka sengaja menyebabkan kerugian kepada 1MDB.

Kerugian AS$3.7 bilion yang didakwa ditanggung 1MDB meliputi pindahan sebanyak AS$1.03 bilion kepada Good Star Ltd dan diguna untuk usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd, AS$ 1.367 bilion dibayar kepada Aabar BVI dan AS$ 1.26 bilion dibayar kepada Tanore Finance Corporation (TFC).

Lihat Komen