malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PRU14: Henti utamakan parti, kata BERSATU
ADS

ULASAN Perubahan kepimpinan ditunjangi oleh krisis keyakinan, dan perkara ini merebak luas dalam masyarakat Malaysia dan ini juga diperkatakan dalam masyarakat antarabangsa dalam keadaan yang belum pernah dialami dalam sejarah moden negara ini.

Isu tersebut begitu banyak dihebahkan dalam pelbagai laporan berita, rencana pengarang, blog dan media sosial, dan lebih cenderung dengan nada dan bahasa yang kurang wajar diulangi di majlis yang penuh sopan ini.

Hal yang perlu disegerakan pada ketika ini ialah menggerakkan rakyat bangkit berjuang memulihkan Perlembangaan dan demokrasi berparlimen di negara ini, selain membaik pulih kerangka institusi negara.

Mangsa sebenar salah tadbir urus negara dan kemusnahan sistem perundangan adalah rakyat jelata.

Dengan itu, kita perlu bekerja keras membina semula infrastruktur institusional, memulihkan kestabilan politik dan membaiki kerosakan yang telah dilakukan oleh kerajaan yang didalangi oleh pemimpin-pemimpin Umno ketika ini.

Adalah menjadi tanggungjawab semua rakyat untuk membaik pulih impak malapetaka yang semakin hari semakin meningkat kesan buruknya.

Kepimpinan baru mesti menunjukkan kekuatan dan kejelasan hala tuju dan menerangkan bahawa telah tiba masanya untuk negara membaik pulih kerajaan, institusi, maruah, ekonomi dan matawang negara.

Rakyat mempunyai peluang melakukannya dengan menzahirkan tindakan melalui undi dalam pilihanraya umum nanti.

Cabaran kepimpinan baru

Menyambut pilihan rakyat, pemimpin pula (kepimpinan baru) mesti taat dan cekal dengan perkara-perkara yang berikut:

Pertahankan demokrasi berperlembagaan dan institusi negara

Isu paling utama yang kita hadapi ialah semakin terhakisnya kerangka Perlembagaan yang seharusnya melindungi dan memudah carakan sistem demokrasi negara.

Tanggungjawab mempertahankan demokrasi berperlembagaan adalah menjadi tanggungjawab setiap warga Malaysia, mencakupi semua yang berada dalam kerajaan sehinggalah rakyat jelata di kampung.

Proses melemahkan institusi-institusi yang berperanan menyempurnakan kepatuhan kepada Perlembagaan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima atau dibenarkan oleh mana-mana parti politik, kaum atau agama.

Mempertahankan Perlembangaan perlu dijadikan titik kebersamaan yang disejajarkan dengan minat parti-parti pemerintah, pembangkang, golongan intelek, dan semua rakyat.

Mempertahankan nilai ringgit dan memulihkan kedudukannya

Tanda aras ketelusan keyakinan yang paling utama terhadap Malaysia boleh dirumuskan pada nilai ringgit. Hakikat bahawa nilai matawang negara telah mencecah rekod paling rendah dalam tempoh 20 tahun berbanding nilai dollar Amerika Syarikat (AS) mencerminkan kemerosotan keyakinan domestik dan antarabangsa, bukan sahaja terhadap ekonomi Malaysia tetapi juga terhadap kestabilan politik dan kewibawaan institusi.

Pendek kata, mereka-mereka yang selama ini mempunyai kepentingan di Malaysia telah bersuara dan mula meninggalkan negara ini.

Terdapat berita yang Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengambil tindakan campur tangan mengekang kejatuhan berterusan. Ini serupa dengan langkah menampal 'plaster' pada serpihan perhiasan. Langkah tersebut tidak mampu mengawal aliran keluar dana negara, malah ini meningkatkan susutan simpanan matawang BNM dan akan disusuli dengan peningkatan kos urusniaga antarabangsa.

Tambahan lagi, kemerosotan simpanan matawang asing yang diperhatikan sepenuhnya oleh pasaran kewangan menerbitkan risiko paling menakutkan iaitu kehancuran pertumbuhan ekonomi yang dilengkapkan dengan inflasi yang mengganas.

Membuka 'kimono' Umno

Krisis berskala raksasa yang belum pernah dialami dalam sejarah negara, menuntut kepertanggung jawapan yang komprehensif dan telus. Pemetaan mekanisme bagi merombak, memasang semula, dan membina institusi-institusi berkaitan kini menjadi satu tugas maha berat yang mesti dilaksanakan oleh kepimpinan yang baru.

Ini tidak boleh disapu ke bawah tikar. Skandal-skandal yang berselirat di dalam sesawang tipu helah dan kekeliruan mesti dirungkai satu demi satu. Pemimpin berhutang menyelaraskan peristiwa-peristiwa lepas kepada khalayak, selain membina satu naratif baru bagi memudahcara kemajuan di masa depan.

Hanya dengan adanya proses soal jawab yang berwibawa dan teguh, barulah wujud ruang untuk memperkatakannya.

Memudah carakan penyiasatan antarabangsa

Pihak berwajib di beberapa negara telah terhidu salah laku pemimpin kita, dan mereka bekerja keras untuk menanganinya. Dengan berasaskan berbagai-bagai laporan media arus perdana peringkat antarabangsa, mereka memiliki peluru ampuh untuk tepat menembak pada sasaran.

Maruah negara mesti dipulihkan dan sungguhpun hati rakyat yang bersemangat nasionalis kecewa kerana kuasa tertinggi negara dipersoal secara terbuka, langkah menyekat sekadar mempertaruhkan keupayaan negara berfungsi sama taraf dengan negara lain dan ini juga membuka peluang untuk mereka menggunakan kelemahan yang ada pada kita.

Kepimpinan baru mesti menyedari bahawa kerajaan sekadar menyembur minyak untuk cuba memadam kehangatan skandal selain sangat tumpul sifatnya dan mempamerkan betapa lemahnya kita. Jadi, kepimpinan baru mesti menerima faedah-faedah akauntabiliti terbuka yang menjanjikan pelbagai kelebihan, iaitu bukan sahaja untuk kerajaan, tetapi juga untuk perniagaan dan rakyat jelata.

Memberi sokongan kepada dialog domestik baru di media sosial

Era propaganda sehala yang disogokkan kepada rakyat telah berlalu. Sejak selamanya, rakyat negara ini tidak merupakan 'pak turut' yang patuh dengan peraturan kuku besi, dan kita sememangnya bangga dengan warisan tradisi inklusif, kerjasama dan saling memahami yang perlu dipertahankan bukan sahaja menerusi media kawalan pemerintah tetapi juga semua bentuk media digital.

Dialog bersama-sama rakyat bukan sahaja bersifat dua hala tanpa halangan dan diperkukuhkan oleh teknologi. Pada idealnya, perlu wujud peraturan yang selaras dengan norma-norma masyarakat yang pastinya akan akhirnya bergerak ke arah tersebut.

Walaupun terdapat pandangan-pandangan liar tanpa batasan yang disebarkan menerusi media sosial, terdapat lebih banyak pihak yang menggunakan media sosial sebagai ruang penyampian yang jujur.

Menidakkan wacana awam dalam media sosial adalah langkah yang merugikan dan bakal menjadi beban yang digalas kemudian nanti.

Melihat pada aliran maklumat dan komen di media sosial media, jelas bahawa tindakan-tindakan eksekutif dikatakan telah melampaui batas yang sepatutnya dan menceroboh hak dan kebebasan badan-badan yang memegang tanggungjawab dan amanah dan ini merupakan salah satu punca kekecewaan dan kemarahan.

Oleh itu, satu bentuk ketelusan, kepertanggungjawapan dan amalan menghormati hak badan-badan bebas amat diperlukan. Kita perlu menempa satu realiti sosial yang baru. Lebih tepat lagi, perakuan yang perlu bergema dalam semakan semula visi strategik mestilah berkaitan dengan menentu sahkan media sosial.

Hala tuju seterusnya ialah menempatkan kedudukan media sosial sama taraf dengan media tradisi atau media arus perdana dalam amalan komunikasi.

Juga, pandangan media sosial jelas menunjukkan bahawa rakyat mengetahui semua tipu helah yang Umno gunakan bagi menepis dan memesongkan tuduhan terhadap berbagai-bagai skandal. Oleh itu, Umno mesti disingkirkan dahulu untuk kita berpeluang mengambil langkah-langkah yang wajar.

Bukti kemampuan pembangkang

Untuk menyingkirkan Umno, pakatan pembangkang mesti menunjukkan bukti berupaya berfungsi sebagai satu alternatif yang berwibawa dan bersatu dengan mempunyai perancangan dan manifesto yang mantap untuk menyelamat dan membina semula Malaysia.

Untuk itu, pakatan pembangkang mesti meletakkan ketepi kepentingan-kepentingan parti dan peribadi; sebaliknya memberi tumpuan pada kepentingan rakyat dan negara.

Untuk selamatkan dan bina semula Malaysia, fokus kita mestilah untuk memenangi pilihan raya umum akan datang dengan mempunyai manifesto yang berwibawa dan pragmatik untuk membentuk kerajaan.

Untuk menang, pakatan pembangkang mesti berjiwa besar berunding untuk membina satu barisan yang kuat untuk menentang Umno/BN yang memiliki 'power of incumbency'.

Jauhi perundingan menerusi media. Cara terbaik ialah berunding tertutup di mana perbincangan ikhlas dan terbuka dapat dilakukan.

Perundingan menerusi media mengundang pihak-pihak berkepentingan menganbil kesempatan mencipta pertelingkahan antara parti-parti pakatan pembangkang. Perlu diingatkan bahawa Umno/BN taat mengguna pakai 'watching brief' ke atas pembangkang menerusi peralatan kerajaan dan 'power of incumbency'.

Kini telah tiba masanya pakatan pembangkang keluar dari kotak pemikiran 'aktivis-pembangkang' dan memulakan perancangan membentuk dan melaksanakan tugas memerintah negara.

Kini sedia wujud peluang keemasan terbaik untuk mengambil alih pemerintahan. Rakyat telah bersedia untuk berubah. Rakyat mengharapkan perubahan. Kini pakatan pembangkang juga mesti bersedia untuk berubah. Kita perlu sedia menerima cabaran menggalas harapan yang diajukan rakyat.

Seperti kata-kata Einstein, kita tidak boleh mengharapkan sesuatu keputusan baru dengan mengulangi perbuatan yang sama.

Slogan baru PRU14

Perundingan yang berpandukan “parti diutamakan, pembangkang dikemudiankan,” mesti dihentikan. Sebaliknya, lonjakan baru perundingan berjiwa besar adalah mengutamakan rakyat dan negara sebelum parti atau diri hendaklah dilakukan. Kita tidak ada pilihan lain.

Perkongsian kuasa boleh dimeteri dalam pelbagai bentuk, dan tidak dibatasi oleh kedudukan sebagai menteri, atau bilangan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Untuk pertama kalinya, ayuh kita kumpulkan bakat-bakat terbaik dalam kalangan pakatan pembangkang untuk diketengahkan dan untuk
memimpin negara ini.

Kurangkan politik lama, kurangkan 'warlords', lebihkan kerja berkualiti, perbanyakkan bakat-bakat pemimpin demi menyelamat dan membina semula Malaysia.

Kini tiba era politik baru di negara ini.

Oleh itu, tanpa mengira parti yang anda wakili atau sokong, marilah sama-sama memastikan yang anda tidak bersendirian keseorangan.


DATUK DR RAIS HUSSIN adalah ketua biro strategi dan dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen