malaysiakini logo
story-image
ADS

Presiden Parti Bebas Rasuah (PBR) Mohamad Ezam Md Noor menyaman Perdana Meneri Datuk Seri Najib Razak sebanyak AS$3.657 bilion susulan kerugian dalam syarikat milik negara 1MDB.

Selain Najib, 15 orang lagi dinamakan dalam saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu pada hari ini.

Najib disaman atas kapasitinya sebagai menteri kewangan dan ketua eksekutif kerajaan Malaysia. 1MDB dan kerajaan juga dinamakan sebagai defendan dalam saman itu.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah, presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy dan 11 lagi bekas pengarah 1MDB dinamakan sebagai defendan.

Menurut kenyataan tuntutan Ezam, 1MDB mendapatkan dana dengan cara meminjam daripada pihak ketiga melalui pengeluaran bon.

Pinjaman itu pula dikatakan diluluskan oleh Najib.

Ezam juga mendakwa Najib dan bekas-bekas pengarah 1MDB melanggar tugas fidusiari apabila AS$3.657 bilion dibayar kepada pihak yang tidak layak.

Berdasarkan kadar semasa, jumlah wang itu bernilai RM4.41 bilion.

Ezam mendakwa defendan-defendan itu berniat menyebabkan 1MDB mengalami kerugian.

“Tindakan ini difailkan bagi membenarkan mahkamah menentukan siapa bertanggungjawab terhadap kerugian 1MDB,” katanya di kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas memfailkan saman itu.

Ezam cuba mendapatkan kembali kerugian 1MDB melalui proses mahkamah.

Lihat Komen