malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'PAS tak pernah terima sumbangan dari Nasharudin'
Diterbitkan:  Apr 13, 2017 9:12 PM
Dikemaskini: 1:50 PM
ADS

PAS menegaskan parti itu tidak pernah menerima sebarang sumbangan daripada bekas pemimpinnya, Nasharudin Mat Isa yang didakwa memperoleh wang daripada dana anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Sambil mengalu-alukan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pendedahan itu langsung tidak memberi sebarang kesan terhadap parti Islam itu.

"Nasharudin Mat Isa bukan lagi pimpinan parti dan sudah tiada kena mengena dengan parti.

"Bahkan beliau sudah tidak aktif di dalam parti sejak tewas bertanding jawatan timbalan presiden PAS pada tahun 2011. PAS menegaskan bahawa ia tidak pernah menerima sebarang sumbangan daripada Nasaruddin Mat Isa," katanya dalam kenyataan.

Tuan Ibrahim juga mempersoalkan sama ada pendedahan Rafizi sekadar untuk mencari publisiti murahan atau sengaja mengalihkan perhatian daripada isu Rang Undang-undang 355 yang dibawa parti itu.

"Dakwaan Rafizi bahawa matlumat tuduhan yang dilakukan oleh beliau telah disalurkan oleh seorang bekas pegawai kanan SPRM juga menimbulkan seribu tanda-tanya. Apapun, bagi PAS ia bukanlah urusan parti," katanya.

Selepas seminggu, Rafizi hari ini mengotakan janjinya untuk mendedahkan nama bekas pemimpin PAS yang didakwanya menerima dana berkaitan 1MDB.

Pemimpin berkenaan adalah Nasharudin yang pernah memegang jawatan timbalan presiden PAS dan kini memimpin Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), yayasan yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sewaktu berada dalam PAS, Nasharudin dikaitkan antara tokoh yang berusaha untuk membina hubungan dan mewujudkan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Rafizi juga membuat akaun berkanun (SD) berhubung perkara itu dan mendakwa beliau memperoleh maklumat itu daripada bekas pegawai kanan SPRM.

Malaysiakini telah berulangkali cuba menghubungi Nasharudin tetapi tidak mendapat sebarang jawapan.

PAS turut menegaskan bahawa dakwaan itu tidak ada kena mengena dengan parti tersebut, memandangkan Nasharudin bukan lagi pemimpin PAS.

 

Lihat Komen