malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Shahrir bangga aset banyak tapi sembunyi aliran tunai Felda'
Diterbitkan:  Apr 13, 2017 6:36 PM
Dikemaskini: 10:53 AM
ADS

Berbangga dengan aset Felda berjumlah RM22 bilion tidak memadai bagi pengerusinya Tan Sri Syed Shahrir sekiranya agensi itu mengalami aliran tunai yang buruk, kata pembangkang.

"Shahrir turut menyembunyikan situasi semasa bahawa aliran tunai Felda dalam keadaan negatif.

"Sekadar nilai aset yang terlalu banyak tetapi mempunyai aliran tunai yang bermasalah, menunjukkan Felda dalam satu keadaan buruk, apatah lagi melibatkan peneroka-peneroka Felda yang berpendapatan kecil dan sederhana," kata Pakatan Harapan dalam satu kenyataan.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bersama oleh Anggota Parlimen Raub, Datuk Ariff Sabri Abdul Aziz, Naib Presiden AMANAH Hasanuddin Mohd Yunus dan Ketua Cabang PKR Putrajaya, Onn Abu Bakar.

Ia sebagai respons terhadap kenyataan Shahrir yang menafikan Felda kini dalam keadaan tenat kerana masih memiliki aset sebanyak RM22 bilion.

Mereka turut menyebut mengenai penjualan semula saham Felda Global Venture Holdings Berhad (FGV) oleh KWSP yang telah menyebabkan nilai saham syarikat Felda terjejas.

Mengulas mengenai tindakan Shahrir menjual aset-aset mewah di United Kingdom, pembangkang berkata tiada jaminan bahawa wang hasil jualan akan diagihkan kepada peneroka yang menanggung hutang kira-kira RM8 bilion pada 2014.

"Adakah Shahrir sanggup membuat siasatan dalaman berhubung pembelian aset-aset mewah ini, sedangkan pada masa yang sama bekas pengerusi yang terlibat dalam kes ini juga merupakan rakan se'Umno'?," soal mereka.

Shahrir menggantikan Tan Sri Isa Samad sebagai pengerusi Felda yang menamatkan khidmat pada 31 Disember tahun lalu bagi memperkukuh lagi lembaga tersebut.

Isa  bagaimanapun masih kekal memegang jawatan sebagai pengerusi FGV.

 

Lihat Komen