malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hajat rampas Kelantan dari PAS hanya mimpi
Diterbitkan:  Apr 13, 2017 12:01 PM
Dikemaskini: 4:33 AM
ADS

Pemuda PAS Kelantan yakin parti itu akan terus berkuasa di negeri berkenaan selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari, berkata penuduh yang begitu yakin mereka dapat merampas Kelantan daripada PAS perlu berpijak di bumi nyata.

"Mereka kena ingat, Umno pun berpecah, PKR pun bergolak,” katanya dilapor Sinar Harian hari ini.

Ahmad Fadhli yang dicalonkan untuk bertanding jawatan ketua pemuda PAS pada muktamar parti itu akhir bulan ini berkata, tidak wajar pihak terbabit meramalkan kejatuhan Kelantan kepada pihak lain dengan menjadikan isu pergolakan sebagai kayu ukur.

Terdahulu, Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, Hazmi Hassan, membayangkang PAS akan kecundang pada PRU ke-14 jika mereka kekal enggan bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

PAS menguasai Kelantan melalui kerjasama dengan Parti Melayu Semangat 46 dan mengetepikan Umno pada PRU kelapan.

Sejak itu Umno dan BN gagal merampas kembali negeri itu walaupun pada suatu ketika PAS mempunyai majoriti satu kerusi di Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Untuk rekod, sepanjang tempoh itu PAS bekerjasama dengan beberapa parti, termasuk PKR.

Bagaimanapun, pemerhati berpendapat, ketiadaan tokoh seperti Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, serta hubungan tidak mesra PAS dengan pembangkang lain mungkin memberi masalah kepada mereka pada PRU ke-14 nanti.

Lihat Komen