Hisham ada pengalaman luas tangani keganasan

(Dikemaskini )

Pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Tugas-tugas Khas adalah tepat pada masanya kerana beliau mempunyai pengalaman luas dan ada strategi untuk menangani isu-isu berkaitan keganasan di dalam dan luar negara.

Sambil mengucapkan tahniah, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata keadaan sekarang memerlukan seorang pemimpin yang komited dan memahami masalah geopolitik serta ancaman Daesh.

"Saya yakin beliau dapat bantu negara dalam merapatkan hubungan Malaysia dengan negara lain khususnya dalam pertahanan dan keselamatan negara.

"Kita memerlukan seorang yang benar-benar berpengalaman menangani masalah keganasan yang timbul hari ini di seluruh dunia," katanya kepada pemberita selepas menyertai program Briskwalk KPDNKK 2017 di Putrajaya hari ini.

Pelantikan itu diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui satu kenyataan hari ini. Najib berkata Hishammuddin masih kekal sebagai Menteri Pertahanan.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata beliau sependapat dengan pakar-pakar minyak dan gas yang menyatakan kemungkinan besar harga minyak dunia akan mencecah AS$60 setong.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan mekanisme yang digunakan oleh kerajaan untuk mengurangkan harga minyak negara.

Harga runcit mingguan berkuat kuasa esok hingga 19 April bagi petrol RON95 naik 8 sen kepada RM2.24 seliter, RON97 naik 9 sen kepada RM2.52 seliter dan diesel naik sebanyak 8 sen kepada RM2.16 seliter.

Mengenai program Briskwalk, KPDNKK dalam satu kenyataan berkata ia akan diadakan setiap Rabu untuk warga kementerian mengamalkan gaya hidup sihat, dan dimulakan dengan senaman aerobik dan seterusnya berjalan sejauh tiga kilometer di sekitar Putrajaya.

Turut hadir Timbalan Menteri Datuk Henry Sum Agong, Ketua Setiausaha Datuk Seri Jamil Salleh dan pegawai-pegawai kanan kementerian itu.

- Bernama


Artikel berkaitan

Share