malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hisham: Saya dilantik kerana ada banyak kerja
ADS

Tidak sampai 24 jam dilantik sebagai menteri dengan tugas-tugas khas di Jabatan Perdana Menteri (JPM) sudah banyak pihak yang membuat pelbagai andaian itu dan ini.

Namun, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjelaskan pelantikan beliau bagi membantu meringankan beban tugas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"(Kita ada) banyak kerja.

“Contohnya hari ini dengan (lawatan) pegawai Raja Salman, ia tidak berkisar dengan Mindef (Kementerian Pertahanan) sahaja tetapi ia melibatkan KDN (Kementerian Dalam Negeri), Kementerian Pendidikan Tinggi.

"Kami proaktif, work in progress dan kalau ada tugas dan keperluan baru yang perlu kita hadapi maka penyesuaian dari segi portfolio dan tanggungjawab boleh dilakukan atas budi bicara dan kuasa PM. Ini keputusan dia (PM) sendiri," kata Hishammuddin.

Hishammuddin berkata demikian dalam sidang media sempena lawatan rasmi penasihat Raja Arab Saudi, Dr Muhammad Abdul Karem Al-Issa di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini.

Sebentar tadi, Najib mengumumkan pelantikan Hishamuddin sebagai menteri dengan tugas-tugas khas di Jabatan Perdana Menteri, berkuat kuasa hari ini.

Dalam kenyataannya, Najib turut menjelaskan bahawa Hishamuddin masih kekal sebagai menteri pertahanan.

Mengulas lanjut berhubung apakah tugas khusus yang diamanahkan kepada beliau, Hishammuddin yang juga naib presiden Umno berkata ia akan dibincangkan kemudian dengan Najib.

Malah, beliau juga akan bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi agihan tugas itu nanti.

"Apa yang diperlukan PM akan dibincangkan dengan dia sendiri.

"Akan beri peluang untuk terus bantu bersama Zahid, agihan tugas dan beri kerjasama dan sokongan tak berbelah bagi kepada kepimpinan PM," kata Hishammuddin.

'Jangan laga-lagakan kami'

Bagaimanapun, Hishammuddin meminta semua pihak tidak menjadikan pelantikan beliau sebagai cubaan untuk melaga-lagakannya dengan pihak lain.

"Jangan ada mana-mana pihak cuba gembar gemburkan serta cuba cari perkara yang boleh lagakan kita.

"Kerana Zahid dah buat kenyataan dia sendiri terima perkara ini.

"Saya terima sebagai amanah untuk bantu PM dan kita teruskanlah berbanding nak melayan pihak yang pernah setuju dengan apa kita buat," tegas Hishammuddin.

"Biar orang ramai nilaikan bukan pihak berkepentingan yang nilai pengumuman dan lantikan hari ini," kata Hishammudin lagi.

Jangan dengar 'tukang kipas'

Diminta mengulas ramalan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, Hishammuddin menyifatkan pemimpin PKR itu sebagai "ketua kaki kipas".

"Itu putar belit Rafizi. Memang kerja dia pun. Jadi apa kita nak susah sangat dengan apa dia kata. Bukan dia lantik saya.

"Jadi saya harap media pun kalau nak dengar cakap pihak yang selalu kipas dan lagakan (teruskan). Rafizi ini ketua kipas dan lagakan (orang), jadi saya nak bagi tahu dia, dia takkan berjaya.

"Kerana kita anggap ini amanah untuk bantu (perdana menteri) dan jika orang lihat saya bersungguh tunai amanah, akhirnya tak ada benda yang boleh dikipas lagi," tambah Hishammuddin.

Terdahulu, Rafizi meramalkan pelantikan Hishamuddin itu bukan perkembangan baik untuk cita-cita politik Ahmad Zahid.

Beliau melihat langkah itu sebagai restu langsung daripada Najib.

Manakala, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Salahuddin Ayub menafsirkan pelantikan Hishammuddin sebagai petanda Najib akan melepaskan jawatannya tidak lama lagi.

Lihat Komen