malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lima mengaku tidak bersalah rompak 24 calon perajurit tentera
ADS

Lima orang termasuk dua anggota tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap 24 calon perajurit muda lelaki, pada 31 Mac lepas.

Tertuduh Mohammad Shah Affendi Shahadan, 29, Syah Irwan Kamis, 33, Mohd Faizal Abd Ghafar, 26, Yusof Shamsudin, 24, dan Muhammad Ridhwan Othman, 24 tahun, yang masing-masing menghadapi 24 pertuduhan, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim G. Ramesh.

Syah Irwan dan Mohammad Shah Affendi merupakan anggota tentera manakala tiga lagi tertuduh merupakan bekas tentera.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh telah melakukan rompakan
berkumpulan kira-kira pukul 3.15 petang hingga 4.30 petang dan 4.15 petang hingga 7 malam pada 31 Mac di tepi bangunan kedai kosong di

Jalan Mambau, Mambau dekat Seremban.

Tertuduh telah melakukan rompakan membabitkan wang tunai dengan jumlah keseluruhan RM6,570.31 dan telefon bimbit pelbagai jenis milik mangsanya yang berusia 19 hingga 25 tahun.

Kesemua tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Peguam Datuk Hanif Hassan yang mewakili Mohammad Shah Affendi memohon agar satu jaminan minimum dikenakan terhadap tertuduh bagi setiap pertuduhan maksimum RM2,000, memandangkan tertuduh masih berkhidmat sebagai anggota tentera dan penjaminnya iaitu isterinya sendiri merupakan suri rumah.

Hanif juga memohon jaminan minimum diberikan kerana kerugian mangsa adalah kerugian minimum dan sekali gus untuk memastikan tertuduh hadir di mahkamah, kerana tertuduh di bawah pengawasan pihak tentera.

Peguam V. D. Vijaya yang mewakili Syah Irwan, Yusof dan Muhammad Ridhwan memohon jaminan minimum lingkungan RM5,000.

Mohd Faizal yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah memandangkan beliau daripada keluarga susah, mempunyai tiga orang anak yang masih bersekolah dan seorang daripadanya baru selesai menjalani pembedahan dan menanggung bayaran sewa rumah serta ibu yang sudah tua.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak membantah jaminan diberikan kepada tertuduh namun sekiranya mahkamah ingin memberikan jaminan, beliau meminta agar jaminan tinggi diberikan dengan syarat tambahan.

Bagaimanapun, mahkamah kemudiannya membenarkan setiap tertuduh  diikat jaminRM32,000 dengan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis Port Dickson setiap bulan pada setiap Ahad pertama. Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Mei depan. -Bernama

Lihat Komen