malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
PM tuntut Pua tarik balik klip video 'fitnah'
Diterbitkan:  Apr 11, 2017 10:29 PM
Dikemaskini: 2:36 PM
ADS

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menuntut Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, memohon maaf dan mnarik balik satu klip video yang dianggap memfitnah.

Dalam sepucuk surat tuntutan diserahkan kepada Pua hari ini, peguam Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun, berkata video klip berkenaan membayangkan anak guamnya mencuri dan menyalahgunakan kuasa.

"Bertentangan dengan kenyataan fitnah anda di atas, anak guam kami bukan kleptokrat zalim dan menindas serta tidak menjauhi kritikan, juga bukan seorang pemimpin yang terlibat dalam amalan rasuah atau pemimpin yang mencuri wang rakyat.

"Oleh itu, dakwaan sama sekali tidak berasas dan palsu anda bertujuan untuk memperkecilkan kedudukan politik yang tinggi anak guam kami, nama baiknya yang besar di dalam dan luar negara, serta mencacatkan prestasinya.

"Dengan berbuat demikian, anda telah bertindak dengan niat jahat dengan sengaja," kata Hafarizam.

Katanya, Najib juga menuntut permohonan maaf bertulis yang perlu disiarkan di dua akhbar, Pua menghentikan sebarang kenyataan memfitnah perdana menteri serta menanggung kos guaman.

Kegagalan Pua bertindak begitu, kata Hafarizam, beliau diarahkan untuk memulakan prosiding perundangan.

Klip video dimaksudkan itu dimuat naik pada 6 April lalu sejurus selepas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, membentangkan rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Berdasarkan catatan klip video itu yang dibuat Hafarizam, Pua didakwa tidak berpuas hati kerana Putrajaya membuat duluan dengan membenarkan usul Abdul Hadi dibentangkan ketika kerusi parti itu lebih rendah berbanding DAP atau PKR.

Sementara itu dalam reaksinya, Pua memberitahu Malaysiakini, beliau tidak akan menarik balik kenyataan tersebut.

"Bukti yang dikemukakan sama dengan keterangan yang saya kemukakan terhadap Najib," katanya.

Pada 2015, Najib mengemukakan saman fitnah terhadap Pua kerana membuat kenyataan sama. Kes itu masih dibicarakan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen