malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hadi, Tuan Ibrahim menang tanpa bertanding
Diterbitkan:  Apr 11, 2017 9:34 AM
Dikemaskini: 2:55 AM
ADS

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti itu bagi tahun ini.

Bagi jawatan naib presiden pula, ketiga-tiga penyandang sedia ada akan dicabar oleh Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Penerangan Nasrudin Hassan.

Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Iskandar Samad mendapat pencalonan cukup bagi mempertahankan jawatan masing-masing.

Perkara itu diumumkan Takiyuddin dalam kenyataannya hari ini. Beliau tidak menyatakan jumlah pencalonan diterima setiap calon.

Bagaimanapun, katanya, peraturan pemilihan kali ini memerlukan sekurang-kurangnya 10 pencalonan untuk layak disenaraikan, berbanding dengan hanya dua sebelum ini.

Muktamar PAS ke-63 akan diadakan di Kedah pada 29 April hingga 1 Mei depan. Ia akan memilih barisan kepimpinan baru untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Sebelum itu, Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat PAS akan mengadakan muktamar di peringkat masing-masing mulai 27 April.

Sementara itu, 40 orang telah dicalonkan untuk jawatan anggota jawatankuasa pusat untuk mengisi 18 kekosongan.

Calon-calon yang menerima pencalonan dikehendaki menyatakan penerimaan sebelum 17 April ini.

Sementara itu, Tuan Ibrahim semalam memberitahu Malaysiakini bahawa beliau mahu menunggu pencalonan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

"Bergantung kepada pencalonan perwakilan. (Bagaimanapun) dalam PAS kini, jawatan bukanlah menjadi rebutan.

"Ia hanya sekadar memenuhi tanggungjawab dan pelaksanaan amanah jemaah," katanya ringkas ketika menjawab soalan Malaysiakini.

Pemilihan PAS kali ini dilihat berbeza dengan tahun lalu yang 'hangat' apabila wujudnya pertembungan dua kumpulan dalam parti politik itu antara kumpulan presiden dan timbalannya Mohamad Sabu.

Malah, dua tahun lepas juga, setelah menjadi presiden selama 13 tahun, jawatan Hadi buat pertama kalinya dicabar oleh bekas naib presiden Ahmad Awang.

Namun Ahmad tewas dengan 233 undi berbanding Hadi sebanyak 928.

Lihat Komen