malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pandikar kata MP wanita lebih efektif
Diterbitkan:  Apr 7, 2017 5:17 PM
Dikemaskini: 9:21 AM
ADS

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini menggesa parti-parti politik di negara ini untuk meletakkan lebih ramai calon wanita pada pilihan raya umum akan datang bagi membolehkan lebih ramai wakil rakyat di kalangan wanita di Parlimen.

Pandikar Amin berkata berdasarkan pengalaman beliau mengendalikan Dewan Rakyat, kalangan wanita adalah anggota parlimen yang berfungsi dengan lebih efektif.

"Sepanjang pengalaman saya (sebagai Speaker Dewan Rakyat) selama sembilan tahun (didapati), anggota parlimen wanitalah yang paling efektif.

"Jadi saya harap kepada parti-parti politik sama ada kerajaan mahupun pembangkang untuk meletakkan lebih ramai calon wanita," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama Seminar Anggota Parlimen Wanita Komanwel Asia Tenggara di bangunan Parlimen hari ini.

Turut hadir Timbalan Speaker Parlimen Singapura Lim Biow Chuan, Pengerusi Anggota Parlimen Wanita Negara Komanwel (CWP) Datuk Dr Noraini Ahmad dan Setiausaha Agung Persatuan Anggota Parlimen Negara Komanwel Akhbar Khan.

Selain itu, Pandikar Amin berkata matlamat untuk menjayakan dasar 30 peratus wanita berada dalam kumpulan penggubal dasar di sektor awam dan swasta juga tidak akan tercapai sekiranya parti-parti politik enggan menambah bilangan calon
wanita untuk mewakili parti masing-masing.

Terdahulu dalam ucaptamanya, Pandikar Amin berkata hanya terdapat 2,086 atau 19.4 peratus anggota parlimen wanita di Asia.

"Justeru, anda (anggota parlimen wanita) perlu segera untuk kerajaan anda masing-masing melibatkan diri dan meminta untuk mencalonkan lebih ramai wanita sebagai calon semasa dalam pilihan raya.

"Mungkin, usaha perlu dijalankan untuk mewujudkan kesedaran di kalangan wanita dan pelajar wanita mengenai bidang kerja anggota Parlimen dan memujuk mereka yang berpendidikan untuk menyertai politik," katanya.

Beliau juga mencadangkan bagi mengadakan Program Asas CWP bagi anggota Parlimen wanita yang baharu di rantau ini.

Program tersebut memberi banyak manfaat dan menyumbang ke arah komitmen kita untuk mencapai standard tertinggi tadbir urus demokratik," kata beliau.

Sementara itu, Noraini dalam ucapannya berkata seminar sehari itu bertujuan untuk memberi peluang kepada ahli di rantau ini untuk berkongsi pengalaman dan menimba pengetahuan mengenai kaedah membina keupayaan dan menggubal dasar membuat dalam dunia nyata menetapkan melalui sesi perbincangan interaktif dan peluang-peluang jaringan dengan pihak-pihak berkepentingan.

Program itu memberi tumpuan kepada pelbagai tema meliputi perundangan, pengurusan jawatankuasa dan penglibatan dengan masyarakat sivil, institusi antarabangsa dan sektor swasta.

- Bernama

Lihat Komen