PARLIMEN | Usul persendirian dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) untuk meminda Akta 355 - atau Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 akhirnya dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.
Ia menjadi perhatian ramai kerana ada sesetengah pihak - termasuk parti komponen BN - menentang cadangan berkenaan. Umno pula pernah mengumumkan bahawa kerajaan akan mengambil alih usul berkenaan.
Bagaimanapun, mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada 29 Mac lalu memutuskan rang undang-undang itu tidak diambil alih oleh kerajaan dan menyerahkannya kepada Speaker Dewan Rakyat menentukan kedudukan usul berkenaan.
Tengah hari tadi usul itu dibawa oleh Abdul Hadi dan disokong oleh Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu). Bagaimanapun, selepas ucapan menyokong usul itu ditamatkan petang tadi, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan sidang Dewan Rakyat sebelum usul Abdul Hadi itu dibahaskan.
Berikut adalah komen beberapa anggota parlimen mengenai usul tersebut:
TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN (BERSATU-Pagoh)
Wakil rakyat tertanya-tanya apa yang terjadi (selepas sidang ditangguhkan). Sebaik mungkin, apabila (usul) dibentangkan - walaupun ada pihak kata tak payah - berilah ruang kepada ahli-ahli parlimen (berbahas). Manalah tahu kalau saya nak sokong, atau ramai lagi hendak sokong, atau tidak sokong
Sekarang ini seolah-olah kita dipermainkan. Saya tak tahu apa perasaan PAS. Dia boleh bentang, boleh sokong tapi tak ada keputusan.
Pada saya ini adalah mungkin perkara yang tak pernah berlaku, namun tentulah rakyat mahukan jawapan sebenar. Adakah ini akan diluluskan atau sebaliknya kerana penjelasan telah dibuat oleh ahli parlimen Marang tadi menyatakan terperinci, dan saya fikir beliau dapat bentang dengan baik walau ada pihak mungkin persoal kandungan, cadangan, tambah hukuman dan sebagainya
Apabila tak beri ruang kepada ahli parlimen pembangkang, malah yang lain-lain untuk suarakan pandangan, pada saya ini menyekat kebebasan.
Saya tidak persoal kuasa speaker. Memang beliau kata ada hak buat keputusan. Namun speaker kena pertimbangkan, dalam sistem demokrasi berparlimen, kita di dalam dewan harus diberikan peluang supaya rakyat tahu kita mengupas, kaji secara mendalam apakah RUU ini supaya tak ada pihak yang menyalah tafsir.
WEE KA SIONG (BN-Ayer Hitam)
Saya anggap usul ini tak lengkap kerana ia cuma satu usul, setakat menyelesaikan huraian usul persendirian yang hendak dibawa. Itu saja.
(Mengenai penangguhan) Berbahas sehingga esok pagi - seperti berlaku semalam - tidak akan menyelesaikan apa-apa kerana ada perbezaan pendapat. Pendirian MCA tetap sama.
Apa pun, Abdul Hadi dan Takiyuddin sudah diberi peluang membuat penjelasan di parlimen.
NASRUDIN HASSAN (PAS-Temerloh)
Saya rasa syukur pindaan RUU355 dapat diberikan huraiann yang jelas. Apa yang baik ketika ini ialah memberi penjelasan dan huraian terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan pindaan RUU355.
Saya bersama Kuala Nerus (Datuk Dr Khairuddin Aman Razali) memang dah sedia untuk berbahas. Saya jangka lepas ini giliran Kuala Nerus nak kemukakan hujah, tapi apabila speaker tangguh perbahasan, kami sedia untuk perbahasan pada sesi akan datang.
"Saya tak tahu (usul tidak dibahas hari ini). Saya dah sedia nak bahas, beg saya ni berat dengan bahan rujukan dan sebagainya.
TAKIYUDDIN HASSAN (PAS-Kota Bharu)
PAS tidak tahu (sidang akan ditangguhkan). Kita sudah ada pembahas. Kita pun terkejut juga, sepatut ada masa lagi.
Terpulang kepada masyarakat (untuk buat penilaian). Saya buat ikut bahagian saya, berdasarkan pengetahuan saya, penyelidikan saya untuk terangkan kepada rakyat.
Hari ini kalangan anggota parlimen, kita telah tunjuk kematangan baik untuk mendengar isu ini.
NIK ABDUH NIK ABDUL AZIZ (PAS-Pasir Mas)
Saya rasa cukup puas hati anggota parlimen sama ada pembangkang atau kerajaan telah mengambil bahagian mohon penjelasan.
Walaupun keputusan speaker untuk menangguhkan sidang mengejutkan semua, tetapi keputusan itu dibuat dengan guna kuasa dia.
Kami dari PAS telah sediakan dua tiga orang orang pembahas yang sudah bersedia berbahas. Saya harap perbahasan seterusnya pada sidang akan datang ada masa yang banyak diberikan.
Walaupun BN tak bawa (usul berkenaan), tetapi Umno akan terus sokong. Saya ucap taniah, saya rasa bukan hanya PAS atau Umno, bahkan semua anggota parlimen Muslim patut sokong pindaan ini.
Penjelasan disampaikan Kota Bharu tadi, saya rasa cukup meyakinkan semua MP.
CHE MOHAMAD ZULKIFLY JUSOH (BN-Setiu)
Saya berpuas hati dan sanngat bagus rang undang-undang itu dibentantang di parlimen.
Ini adalah (cadangan) pindaan kali ketiga dan dibuat selepas 30 tahun. Kita mesti tanya diri sendiri, mengapa pindaan itu diperlukan.
Ia sebab ada banyak kes zina yang membawa kepada anak luar nikah, juga kes pembuangan bayi yang membimbangkan orang ramai.
Hukuman yang ada sekarang nampak seolah-olah tidak mempedulikan masalah sosial ini. PAS sudah bersedia berkompromi mengenai hukuman yang menunjukkan perkembangan bagus.
Jadi orang tidak akan kata pindaan ini adalah jalan belakang untuk melaksanakan hudud. Kita bukan bergerak ke arah hudud. Ia sekadar undang-undang am.
DATUK SERI DR S SUBRAMANIAM (BN-Segamat)
Keputusan yang diambil adalah membenarkan PAS membentangkan usul mereka dan proses undian tidak dibuat hari ini.
Setakat ini kita mengikut keputusan Dewan Tertinggi BN dan speaker yang memutuskan supaya perbahasan tidak dijalankan. Maka MIC tidak boleh menyertai perbahasan itu.
Jika speaker membenarkan perbahasan, MIC akan memberikan pandangan dari sudut perlembagaan.
Kami sudah memberikan pandangan kepada perdana menteri mengenai kebimbangan orang bukan Islam (sebelum ini) walaupun kami menghargai pandangan dan penjelasan diberikan hari ini.
Namun di sebalik itu, ada beberapa kebimbangan, misalnya Artikel 121A apabila ia mula-mula dipinda, ada jaminan sama bahawa orang bukan Islam tidak akan terkesan, tetapi kemudiannya kita ada kes-kes seperti Indira Gandhi.
DATUK MAS ERMIEYATI SAMSUDIN (BN-Masjid Tanah)
Kita menghormati keputusan speaker menangguhkan sidang walaupun pembangkang tidak berpuas hati. Speaker bukannya tidak memberi ruang (berbahas), cuma ditangguh ke sesi akan datang.
Kalau anggota parlimen BN boleh menghormati keputusan speaker, mengapa oprang lain tak boleh?