malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
ADS

Akibat terlalu gembira, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan tidak dapat menahan air matanya dalam persidangan Dewan Rakyat apabila usul untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU355) berjaya dibentangkan hari ini.

Melalui rakaman siaran langsung di parlimen, Nasruddin yang duduk di belakang Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat beberapa kali membuka kaca mata bagi mengelap air mata.

Beliau ketika ditemui pemberita ketika sesi rehat selepas itu melahirkan rasa syukur apabila usul itu akhirnya berjaya dibentangkan oleh Hadi.

“Pada saya bila mereka (anggota parlimen bukan Islam) ada peluang mendengar, itu pun sudah besar ertinya (untuk PAS) dan mereka boleh berfikir dengan betul.

“Sebelum ni mereka tak dengar lagi sebelum buat pelbagai rumusan dalam keadaan mereka tak dengar apa yang kita cakap, apa yang Islam nak,” katanya sambil tersenyum.

Beliau yang juga anggota parlimen Temerloh berkata PAS membentangkan usul itu bukan untuk mencari undi politik, sebaliknya mengangkat syariat Islam.

“Saya mengharapkan mereka menilai dengan hati terbuka dan mereka lihat bagaimana keadilan Islam,” katanya.

Tuan Ibrahim: Hari bersejarah

Sementara itu Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang turut hadir ke parlimen turut menyifatkan hari ini merupakan hari sejarah kepada parti Islam itu.

“Alhamdulillah saya syukur dan saya yakin ahli-ahli PAS sujud syukur kerana ia dibentang dan tinggal doa untuk berjaya.

“Hari ini hari yang berjaya, semoga Allah mudahkan urusan,” katanya di parlimen hari ini.

Tuan Ibrahim bagaimanapun membidas sikap DAP yang pada mulanya cuba menghalang usul itu daripada dibentangkan.

“Ini sikap yang tak demokratik. Sepatutnya beri ruang untuk bahas kemudian buka kepada pengundi. Tak boleh sekat usul.

“Saya fikir tindakan DAP rakyat boleh nilai apa yang mereka buat tak sepatutnya berlaku oleh anggota parlimen. (Bila) dengar penjelasan ini dan kekeliruan dapat di hindar,” katanya.

Lihat Komen