malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
DAP umpan Dr M, Wan Azizah raih undi Melayu - Pemuda Umno
Diterbitkan:  Apr 4, 2017 5:02 PM
Dikemaskini: 9:06 AM
ADS

Pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai penasihat Pakatan Harapan (HARAPAN) hanyalah sekadar umpan untuk meraih undi orang Melayu di negara ini, kata Naib Ketua Pemuda Umno Terengganu, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamad Aris.

"Parti-parti pembangkang di dalam HARAPAN tidak dapat menolak realiti di mana parti yang benar-benar mendominasikan pakatan tersebut ialah DAP berdasarkan kekuatan kerusi yang diperolehi dalam pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

“Ini semua bagi saya sekadar satu wayang HARAPAN untuk mengumpan terutama pengundi-pengundi Melayu. Pelantikan Mahathir dan juga Wan Azizah sebagai penasihat tidak dapat menyembunyikan hakikat bahawa yang tetap berkuasa dan mendominasikan ialah DAP.

“DAP tahu sentimen pengundi khususnya bangsa Melayu majoritinya negatif terhadap parti itu kerana pendirian mereka berhubung isu-isu kaum dan agama. Sebab itulah mereka lantik Mahathir dan juga Wan Azizah sebagai penasihat, sekaligus sebagai simbol bagi HARAPAN," jelas beliau, memetik laporan Umno Online.

Sebelum ini, HARAPAN dilaporkan bersetuju melantik Wan Azizah bersama-sama Mahathir sebagai penasihat jawatankuasa protem.

"Daripada 18 ahli, 16 (ahli protem) akan dibahagikan sama rata oleh empat parti, manakala dua kedudukan istimewa diberikan kepada Wan Azizah dan Tun Mahathir," kata Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad.

"Kami memuruskan (untuk menamakan kedua-duanya) Wan Azizah dan Mahathir sebagai penasihat. Mereka akan memegang jawatan sama dan mereka sama-sama penting," katanya.

Bagaimanapun, katanya, semua ini bergantung kepada terma dan syarat serta prosedur yang digariskan oleh Pendaftar Pertubuhan berhubung pendaftaran parti komponen.

Dalam perkembangan yang sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak pula berkata, Lim Kit Siang wajar dilantik oleh pembangkang untuk mengetuai HARAPAN.

Katanya, cadangan itu dibuat kerana mengambil kira kedudukan kerusi yang diperoleh semua parti dalam HARAPAN.

Berbanding dengan PKR dan AMANAH, Salleh berkata, DAP menguasai kerusi terbanyak.

"Penasihat DAP, Lim Kit Siang, perlu menyandang jawatan Pengerusi HARAPAN memandangkan DAP memiliki 38 kerusi Parlimen dan 96 kerusi Dewan Undangan Negeri," katanya.

Mengulas lanjut, Najmil Faiz berkata, langkah untuk tidak meletakkan penasihat DAP dalam barisan penasihat HARAPAN merupakan strategi untuk tidak menimbulkan sebarang persepsi negatif dan andaian.

"Mereka (DAP) tidak memerlukan jawatan, sebaliknya sudah cukup meletakkan pemimpin-pemimpin tertentu yang boleh mereka bonekakan untuk mencapai agenda mereka, seperti mana yang berlaku di Perak ketika DAP bersetuju mengangkat (Datuk Seri Mohammad) Nizar (Jamaluddin) sebagai menteri resar, ” ujarnya.

Justeru, Najmil Faiz yang juga ketua pemuda Umno bahagian Kuala Terengganu meminta rakyat khususnya bangsa Melayu agar tidak terpengaruh dengan strategi politik HARAPAN khususnya DAP yang cuba memancing undi orang Melayu.

“Orang Melayu perlu sedar, dalam HARAPAN, DAP adalah parti yang mempunyai kerusi tertinggi berbanding parti-parti lain. Ini secara tidak langsung membuatkan DAP mempunyai lebih kuasa pemutus berbanding parti-parti lain," tambah beliau.

Lihat Komen