malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Siti Kasim menjurus kepada murtad - Mufti Perak
ADS

Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria hari ini menasihati Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim agar mempelajari dan memahami agama Islam sebelum membuat kenyataan tentang
agama itu.

Kata beliau sebagai peguam, Siti Kasim tidak sepatutnya menyentuh isu tauhid yang jelas bukan bidangnya.

"Perbuatan itu boleh menjurus kepada murtad. Orang yang murtad itu terkeluar daripada Islam dan kalau mati pun tak boleh ditanam di perkuburan Islam," katanya dalam sidang media di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di Ipoh.

Harussani mengulas laporan media yang menyebut tentang kenyataan Siti Kasim berhubung tuhan dalam satu temu bual dalam talian dengan media berbahasa Cina beberapa tahun lepas.

"Saya menasihatkan (Siti Kasim) untuk tidak campur dalam urusan agama yang kita tidak tahu. Belajarlah.

"Kita beruntung kerana dilahirkan sebagai orang Islam. Cukup beruntung.
Pelajarilah agama Islam yang dibawa oleh mak dan bapa kita. Kita pertahanlah agama itu. Jangan kita bercakap perkara yang kita tidak tahu kerana itu akan merosakkan diri kita," kata Harussani lagi.

Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memanggil Siti Kasim untuk diambil keterangan berhubung kenyataannya berkaitan kewujudan tuhan.

Lihat Komen