malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Akta 355: Kit Siang cabar Najib tidak buat 'pusingan U'
Diterbitkan:  Apr 2, 2017 3:25 PM
Dikemaskini: 7:28 AM
ADS

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dicabar memberi jaminan untuk tidak lagi membuat 'pusingan U' atas rang undang-undang (RUU) pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, beliau mengalu-alukan tindakan Najib mengisytiharkan Putrajaya tidak akan mengambil alih RUU tersebut tetapi tiada jaminan bagi perdana menteri dalam menukar fikiran di kemudian hari pula.

"Apakah ada jaminan bahawa Najib tidak akan membuat satu lagi 'pusingan U' dalam masa terdekat untuk menyokong dan mengambil alih RUU persendirian oleh (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang?

"Pusingan U oleh Najib ini baik dan terpuji dengan syarat beliau membuat komitmen untuk tidak akan membuat satu lagi pusingan U mengenai isu yang sama pada masa hadapan.

"Bolehkah Najib berikrar secara terbuka beliau tidak akan membuat satu lagi pusingan U mengenai isu yang sama pada masa akan datang?," tanya Lim dalam kenyataan hari ini.

Bagi Lim, persoalan yang ditimbulkan beliau itu adalah relevan kerana Najib membuat 'pusingan U' walaupun pernah mengumumkan semasa Perhimpunan Agung Umno yang lalu untuk Putrajaya akan mengambil alih RUU oleh Abdul Hadi itu.

Beberapa hari yang lalu, Najib mengumumkan dewan tertinggi BN memutuskan kerajaaan tidak akan mengambil alih pembentangan usul meminda Akta 355 selaras dengan dasar dan amalan BN yang menetapkan semua keputusan mesti dibuat secara konsensus.

"Dewan tertinggi BN malam ini membincangkan dan memutuskan bahawa kerajaan tidak akan membentangkan RUU355 selaras dengan dasar dan amalan kita bahawa BN membuat keputusan berdasarkan konsensus.

"Justeru, rang undang-undang ini akan terus menjadi bil (rang undang-undang) persendirian dan terserah kepada speaker (Dewan Rakyat) untuk menentukan (kedudukannya)," kata Najib di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur.

Dengan ketetapan itu, status usul persendirian yang dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, akan tertakluk kepada pertimbangan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan kerajaan membuat keputusan untuk membentangkan sendiri cadangan pindaan Akta 355 itu pada sidang kali ini.

[Baca berita penuh]
 

Lihat Komen