malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor mengingatkan warga Kuala Lumpur agar menukar cara pemikiran mereka bagi menjaga kebersihan bandaraya itu.

Tengku Adnan berkata langkah tersebut perlu diambil bagi mengelak lebih ramai pihak menggelar Kuala Lumpur sebagai "Kota Tikus", sekali gus memastikan kotaraya itu bersih menjelang tahun 2020.

"Saya harap warga kota hari ini mesti menukar minda, mesti mengambil satu kaedah bahawa kebersihan adalah untuk kesihatan.

"Sasaran kita Wilayah bersih menjelang 2020 tapi dengan apa yg berlaku hari ini kita takut ia tak kesampaian.

"Jadi, kita kena tukar minda. Kalau tidak warung akan kotor, kedai kotor sehingga orang panggil kita Kuala Lumpur 'kota tikus', tak malu ke? soal Tengku Adnan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis pengiktirafan kawasan yang ditaraf A bagi blueprint penarafan kebersihan WPKL dan sesi menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bersama pihak berkepentingan di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, walaupun sudah ada penguatkuasaan untuk mengenakan tindakan terhadap mereka yang membuang sampah merata-rata, namun kerajaan tidak berhasrat menguatkuasakan undang-undang untuk sekadar menyaman orang ramai.

“Kita tidak mahu ia dijadikan sebagai satu kaedah menyaman rakyat sebaliknya mahu mendidik mereka supaya mempunyai kesedaran sendiri terhadap kebersihan," kata Tengku Adnan.

'Tanyalah penganjur'

Sementara itu, Tengku Adnan ketika ditanya mengenai salah faham berhubung penganjuran Festival iChef Malaysia 2017 di Putrajaya minggu lalu, enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

"Itu awak kena tanya penajalah, bukan saya," katanya.

Pada 26 Mac lalu, Tengku Adnan yang juga anggota parlimen Putrajaya tersilap apabila mengatakan acara itu mendapat pengiktirafan Guiness World Records.

Malah, badan yang mengelolakan rekod dunia itu turut menafikan sijil yang dipaparkan Tengku Adnan di laman Twitternya adalah asli apabila ditanya beberapa individu.

Ditanya berhubung kenyataan Menteri Kewangan 11 , Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang meminta golongan muda menukar cara pemikiran berhubung pembelian rumah, Tengku Adnan juga enggan mengulas mengenainya.

"Ini semua nak laga-lagakan saya, janganlah. Ishh..kamu ini," katanya kepada wartawan.

Johari, ketika bercakap di Putrajaya Khamis lalu berkata di kebanyakan negara, masyarakatnya memilih untuk menyewa bagi tempoh masa lebih lama sehingga mereka mempunyai wang mencukupi bagi membeli rumah.

Lihat Komen