malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Aishah seolah tahu akan ditangkap – ibu
ADS

Ibu kepada Siti Noor Aishah Atam Jusoh berkata anaknya seolah-oleh sudah mengetahui akan ditahan pihak berkuasa.

Sadiah Ibrahim berkata, dalam pertemuan terakhir dengan Siti Noor Aishah pada 27 Mac lalu, anaknya itu sempat mengirim pesan supaya membawakan buku yang sudah diatur di atas meja di dalam biliknya.

“Aishah cuma cakap dia nak buku, dia cakap (dia nak) mak ambil buku atas meja. Sekiranya mak datang (penjara), mak ambil buku atas meja

“Saya cakap (pada Aishah) tak payah baca. Dia (Aishah) kata Quran dia dah susun, sekali dengan buku atas meja, sebab sebelum itu dia dah merasai apa yang akan berlaku, dia dah dapat rasa.

“Saya kata, (Aishah) awak jangan mengarut, ni kita nak pergi bicara. Dia dah merasai apa akan berlaku tapi, mak (saya) tak percaya,” katanya kepada pemberita di luar Penjara Kajang malam tadi.

Beliau turut berkata, Aishah kelihatan sangat tenang ketika ditahan malah sempat memberi pesan kepadanya supaya lebih bersabar.

Sadiah dalam nada sebak sempat berkata “sebagai ibu saya harap hak Aishah untuk (hidup) bebas”.

Kira-kira 30 orang malam tadi berkumpul di luar Penjara Kajang bagi menyatakan solidariti terhadap penahanan Siti Noor Aishah.

Antara yang hadir Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah, wakil SUARAM Amir Hadi, pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvam dan keluarga Siti Aishah.

Hujan lebat tidak mematahkan semangat mereka untuk meneruskan himpunan solidariti itu.

Siti Noor Aishah ditahan sepasukan polis dari Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman pada 22 Mac tahun lalu.

Difahamkan anak sulung daripada lima beradik itu sedang tidur di bilik rumahnya di Dungun, Terengganu, apabila anggota polis terbabit menahan dan membawa beliau ke balai.

Siti Noor Aishah ditahan mengikut Sosma dan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2014 (Poca).

Dia dikurung di Penjara Pengkalan Chepa lebih sebulan, sebelum dipindahkan ke Penjara Kajang selama hampir lima bulan.

Pada 29 September 2016 Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Sharif Abu Samah, memerintahkan Siti Noor Aishah dibebaskan selepas mahkamah berpendapat pendakwa gagal membuktikan buku-buku dimiliki pelajar sarjana itu diharamkan Kementerian Dalam Negeri.

Malah buku-buku tersebut masih tidak diharamkan sehingga kini.

Polis kembali menahannya pada 27 Mac lalu selepas dia hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Siti Noor Aishah hadir ke mahkamah ekoran rayuan dibuat timbalan pendakwa raya terhadap keputusan mahkamah tinggi yang membebaskannya sebelum ini.

Lihat Komen