malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Dasar ambil pekerja Korea Utara diteruskan'
ADS

Pengambilan pekerja asing dari Korea Utara diteruskan mengikut tatacara sedia ada dan permintaan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Masir Kujat.

Masir berkata seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semalam, hubungan diplomatik dua negara masih dikekalkan dan rakyat Korea Utara masih bebas untuk melawat negara ini, begitu juga sebaliknya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian
Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Penyampaian Watikah Pelantikan Lembaga Hakim Pelawat Peringkat Negeri Sarawak di Pejabat Penjara Negeri Sarawak, Jalan Puncak Borneo hari ini.

Masir turut mengesahkan bahawa Jabatan Imigresen Sarawak baru-baru ini telah menahan beberapa pekerja rakyat Korea Utara kerana didapati bekerja di negeri ini tanpa permit yang sah, tetapi kesemua mereka telahpun dihantar pulang ke negara asal.

Sementara itu, beliau berkata sehingga kini terdapat 58,000 banduan di
penjara di seluruh negara termasuk 2,078 orang di penjara-penjara di negeri Sarawak.

Katanya, 30 peratus banduan di penjara di Sarawak adalah warga asing yang menjalani hukuman kerana melakukan pelbagai kesalahan jenayah, majoritinya menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja di negeri ini dan juga bekerja dengan permit kerja yang sudah tamat tempoh sahnya.

Terdahulu, dalam ucapannya Masir berkata kadar jenayah di Sarawak masih yang terendah berbanding negeri lain jika diukur dengan jumlah penghuni di penjara berbanding kapasiti penghuni yang masih rendah.

"Statistik menunjukkan jumlah penghuni yang ada kira-kira 50 peratus di
bawah kapasiti 3,040 bagi seluruh penjara di negeri Sarawak," katanya.

Di samping itu, katanya seramai tiga calon banduan mendapat 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini manakala Gred Purata Sekolah (GPS) secara keseluruhan untuk Sekolah Henry Gurney dan Sekolah Integriti di Penjara Puncak Borneo meningkat daripada 6.10 kepada 5.38.

Dalam bidang kemahiran, seramai 1,726 penghuni penjara berjaya diberi sijil mengikut bidang yang ditawarkan pada tahun lepas, sekali gus sasaran sekurang-kurangnya 1,500 orang mendapat sijil dalam tempoh setahun, tercapai.

Beliau berkata daripada 974 bekas penghuni penjara di Sarawak yang menjalani hukuman di luar tembok seperti sistem parol, hanya 14 orang didapati kembali melakukan jenayah. -Bernama

Lihat Komen