malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lagi desakan bebas segera Siti Noor Aishah
Diterbitkan:  Mar 31, 2017 11:48 AM
Dikemaskini: 4:15 AM
ADS

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berkata, pihaknya mendesak pembebasan segera Siti Noor Aishah Atam yang secara logik dan kehakiman tidak melakukan apa-apa kesalahan yang mengancam keselamatan negara.

"Seharusnya doktrin 'seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah' terpakai di tahap tertinggi memandangkan walau pelbagai keterangan dikemukakan pihak pendakwaan, masih tiada kesalahan yang beliau lakukan.

"Tangkapan Siti Noor Aishah yang telah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi seolah-olah menghukum beliau yang telah didapati tidak bersalah.

"Ia satu tindakan yang tidak demokratik dan tidak berperlembagaan dengan buku-buku yang dimiliki beliau yang menjadi asas pertuduhan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) tidak pula diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri," kata Faiz dalam kenyataan.

Semalam, Anggota Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud turut menyuarakan gesaan untuk membebaskan Siti Noor Aishah Atam yang ditangkap semula di bawah Sosma.

"Menyekat mana-mana rakyat daripada membaca aliran pemikiran berbeza adalah satu kegilaan yang perlu dicegah.

"Saya mendesak kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib (Razak) supaya membebaskan Siti Noor Aishah dengan segera dan bersihkan nama mangsa kezaliman Sosma dan Poca (Akta Pencegahan Jenayah 1956) ini," kata Siti Mariah.

Pada masa yang sama, Faiz menambah, kerajaan didesak menghapuskan SOSMA dengan segera kerana akta tersebut disalah guna untuk menzalimi rakyat Malaysia yang tidak terlibat dengan keganasan.

"SOSMA dikategorikan akta drakonian kerana mengandungi peruntukan yang bertentangan dengan prinsip dan kaedah keadilan sejagat serta hak dan kebebasan asasi yang dijamin perlembagaan.

"Antaranya penahanan oleh pihak polis untuk tempoh 28 hari tanpa perintah reman, penangguhan konsultansi peguam, ditahan tanpa ikat jamin sepanjang tempoh bicara dan lain-lain lagi," katanya lagi.

Lihat Komen