malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

PARLIMEN | Tidak ada salahnya melantik semula hakim yang sudah bersara jika ia dibuat untuk mengekalkan pengalaman mereka, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

 

"Perkara ini dibuat sebab kita tak mahu bazirkan kepakaran itu," katanya.

Pelantikan berkenaan juga, katanya, membolehkan pengalaman dan kepakaran hakim terbabit dikongsi bersama hakim lain.

Razali berkata demikian semasa menjawab soalan M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang bertanya mengenai keperluan melantik hakim yang bersara wajib.

Kulasegaran turut menamakan pesara hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Jeffrey Tan, yang ditawar melanjutkan perkhidmatan selama enam bulan, kemudian dilantik semula bagi tempoh dua tahun.

Melalui lanjutan semalam lima tahun itu Tan bersara pada November 2015. Beliau kemudian dilaporkan dilantik semula sebagai hakim tambahan di mahkamah persekutuan pada September 2016.

"Bagi kes Tan Sri Jeffrey, (pelantikan) beliau merupakan (sebagai) hakim tambahan," kata Razali.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Kulasegaran meminta penjelasan daripada Razali mengenai spekulasi tiga hakim yang bakal bersara akan dilanjutkan perkhidmatannya selama dua tahun lagi.

Mereka ialah Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif dan Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.

Pada September 2016, dilaporkan tempoh perkhidmatan ketiga-tiga mereka dilanjutkan selama enam bulan.

Tempoh perkhidmatan Arifin sepatutnya tamat akhir bulan ini ini manakala Md Raus bersara pada 4 Februari dan Zulkefli pada 28 Mac.

Bagaimanapun Razali mendakwa tidak tahu menahu mengenai pelanjutan tempoh perkhidmatan itu.

"Saya tidak tahu dan saya terlibat dengannya. Ia tertakluk kepada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, sebuah badan bebas," katanya.

Ketika dihubungi, Kulasegaran berkata, kerajaan sepatutnya tidak mempertimbangkan untuk melantik semula hakim bersara kerana ada ramai peguam layak dilantik sebagai hakim di negara ini.

Sementara itu Razali berkata, ada hampir 60,000 kes tertunggah di mahkamah tinggi, mahkamah rayuan dan mahkamah persekutuan ketika ini.

Ia termasuk 1,050 kes sivil dan jenayah di mahkamah persekutuan dan 3,863 kes jenayah di mahkamah tinggi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen