malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Hari ini pun perit, tak perlu tunggu 2050'
Diterbitkan:  Mar 30, 2017 10:28 AM
Dikemaskini: 2:29 AM
ADS

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohd Sany Hamzan membidas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang mengatakan generasi akan datang tidak 'mewarisi' beban peningkatan kos sara hidup yang dihadapi rakyat kini melalui program Pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

"Kami menegaskan, masalah yang dihadapi oleh golongan muda khususnya kos sara hidup perlu diselesaikan segera, bukannya menunggu tahun 2050.

"Dilema rakyat khususnya golongan muda sering dibangkitkan oleh Pemuda AMANAH dan Pakatan Harapan secara keseluruhannya dan kini Khairy mengakui akan hakikatnya.

"Beberapa isu besar yang perlu dipandang serius dan diselesaikan secara tuntas oleh pihak kerajaan tanpa perlu mengambil masa yang terlalu lama," katanya dalam kenyataan.

Yang pertama, jelasnya, masalah pengangguran di kalangan belia atau anak muda yang mencecah 10.7 peratus dalam tahun 2015 iaitu lebih tiga kali ganda lebih tinggi daripada kadar pengangguran negara pada iaitu 3.1 peratus.

Pengangguran juga sangat tinggi di kalangan graduan iaitu sebanyak 15.3 peratus, katanya.

Kedua pula isu gaji yang rendah dengan kajian Khazanah Research Institute (KRI) mendapati, keseluruhan gaji di Malaysia berlaku peningkatan tetapi sangat perlahan.

"Median gaji pertengahan tahun ini berada di tahap RM1,600 sebulan berbanding RM1,500 tahun lalu," katanya.

Ketiga ialah kos sara hidup yang tinggi dengan harga makanan meningkat lebih cepat berbanding barang-barang lain iaitu kira-kira 30 peratus, tambahnya.

"Ini telah menyebabkan kerajaan terpaksa mengimport pelbagai jenis bahan makanan daripada luar negara. Contohnya, negara telah mengimport lebih 90 peratus bekalan susu dan 70 peratus bekalan daging mentah," jelasnya.

Keempat pula harga rumah yang mahal sehingga menyebabkan 70 peratus rakyat tidak mampu memiliki rumah.

"Kelima pula ialah kos pengangkutan dengan kegagalan kerajaan untuk menyekat daripada berlakunya kenaikan kos pengangkutan. Rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana sangat terkesan apabila kos pengangkutan meningkat termasuklah kos pengangkutan awam," katanya.

Justeru, isu-isu besar yang sedang dihadapi oleh rakyat ini wajar diselesaikan secara tuntas, bukannya bermain dengan pelbagai slogan demi kepentingan tertentu, ujarnya.

"TN50 adalah satu lagi kaedah untuk menutup kegagalan pentadbiran kerajaan BN," katanya.

Lihat Komen