malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN l Pada dekad 1980 dan 90-an kita selalu mendengar ungkapan “penjajahan bentuk baru”.

Ketika itu, makna “penjajahan bentuk baru” selalu dikaitkan dengan “penjajahan budaya” apabila rembahan budaya Barat masuk melalui pelbagai saluran seperti rancangan TV, filem, fesyen, muzik dan sebagainya.

Sekiranya ada “penjajahan bentuk baru”, tentulah wujud “penjajahan bentuk lama”. Setiap rakyat Malaysia pasti tahu sejarah Tanah Melayu ini pernah dijajah oleh beberapa kuasa asing ratusan tahun lamanya.

Kuasa asing seperti Belanda dan Inggeris datang ke Tanah Melayu pada awalnya adalah untuk berniaga. Lama kelamaan barulah mereka benar-benar menjajah Tanah Melayu dan wilayah-wilayah lain di Asia Tenggara.

Kita lihat bagaimana pada ketika itu, ada raja, sultan dan pembesar Melayu diugut atau dapat ‘dibeli’ dengan wang ringgit.

Selepas sekian lama barulah kita sedar betapa nilai wang ringgit yang dipakai buat beli penguasa Melayu sebenarnya bukanlah sebesar mana berbanding apa yang bangsa ini perlu korbankan.

Tahun ini genap 60 tahun Malaysia merdeka.

Perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan bukan mudah. Antara persetujuan penting adalah kaum pribumi di Tanah Melayu perlu juga memberikan kewarganegaraan kepada orang asing yang dibawa masuk oleh penjajah terlebih dahulu.

Sejarah mencatatkan bagaimana Temenggung Ibrahim di Johor pada awal abad ke-19 memperkenalkan sistem kangcu dengan mengizinkan kemasukan beramai-ramai buruh dari China untuk bekerja di ladang-ladang gambir dan lada hitam.

Dasar berkenaan kemudiannya turut digunapakai dengan skala lebih besar oleh Inggeris untuk membekalkan buruh ke estet mahupun lombong bijih.

Kemasukan orang China dari tanah besar di era itu bolehlah dikatakan sebagai gelombang kedua.

Dalam peringkat pertama hanyalah kehadiran Puteri Hang Li Po yang membawa bersamanya rombongan untuk berkahwin dengan Sultan Melaka, Sultan Mansur Shah pada pertengahan abad ke-15.

Kehilangan Singapura

Kedatangan Hang Li Po tidak membawa sejumlah dayang dan pengawal yang berbondong-bondong sehingga memerlukan kerajaan Melayu Melaka mewujudkan satu wilayah atau pulau khas untuk menempatkan anak cucu mereka.

Kehadiran ramai orang asing yang kemudiannya beranak-penak itu juga antara latar sejarah di mana Melayu Raya kehilangan Singapura pada 1965. Sejak itu, Singapura bukan lagi dikepalai oleh pemimpin Melayu.

Perbenturan dua budaya antara kaum pribumi dengan orang asing pula tidak mudah untuk ditangani dengan sekelip mata.

Peristiwa 13 Mei 1969 antara naratif yang terpaksa dilalui dan ditangani oleh pemimpin kita apabila Inggeris sudah tidak mahu bertanggungjawab lagi ke atas apa yang dilakukan mereka dahulu.

Apa yang penting kepada mereka adalah mengaut keuntungan tanpa memikirkan kesan daripada apa yang dilakukan.

Di pentas politik antarabangsa, pergeseran polisi luar antara Amerika dan Inggeris juga memberi kelebihan kepada Tanah Melayu untuk mencapai kemerdekaan.

Ekonomi Inggeris menjadi lemah selepas Perang Dunia Kedua. Atas faktor inilah maka kuasa imperialis perlu melepaskan satu persatu tanah jajahannya termasuklah di Afrika, India dan Asia Tenggara.

Usaha untuk mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia mulai menampakkan hasil selepas hampir setengah abad tragedi 13 Mei.

Malaysia juga cukup bernasib baik kerana tragedi berkenaan tidaklah seburuk sepertimana yang dialami di Indonesia dalam dekad yang sama sehingga mengorbankan jutaan nyawa.

Peristiwa yang dikenali sebagai tragedi “lubang buaya” itu jauh lebih dahsyat sehingga dikatakan memakan lebih tiga juta nyawa.

Tidak cocok

Hari ini kehadiran beramai-ramai orang luar tanpa kawalan yang munasabah juga membuatkan warga Inggeris menjadi rimas. Mereka merasakan ada sesuatu yang merugikan kalau dibiarkan.

Tahun lalu, majoriti warga Britain telah membuat pungutan suara untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU). Peristiwa itu diketahui dunia sebagai “Brexit”.

Tentulah keputusan sedemikian adalah keputusan yang sukar, terutama apabila Britain merupakan antara negara penting di dalam EU sejak 24 tahun lalu.

Kehadiran orang luar bukan sahaja membawa budaya yang tidak cocok dengan warga Britain, orang luar juga dikatakan telah mengambil peluang pekerjaan, peniagaan dan memiliki kediaman yang sewajarnya dimiliki oleh rakyat tempatan.

Krisis senyap ini juga sedang berlaku di Jakarta sejak Ahok menjadi datuk bandar. Masalah besar yang sedang dihadapi oleh warga asal Jakarta adalah kemasukan besar-besaran warga luar terutamanya dari China yang membeli kondominium mewah di sana.

Kehadiran warga China itu juga tidak begitu disenangi oleh kaum Tiong Hua Indonesia sendiri.

Orang China dari Tanah Besar tidak bercakap bahasa Indonesia, tidak makan sepertimana lazimnya orang Indonesia, dan tidak pula berdiri ketika bendera merah putih dinaikkan bersama lagu Indonesia Raya.

Laluan sutera baru

Sejak presiden Xi Jinping memperkenalkan dasar “One Belt, One Road” (OBOR) pada 2013, syarikat milik negara China memang digalakkan untuk melabur dan meraih keuntungan di luar tanah besar.

Idea di belakang OBOR adalah untuk membuka “laluan sutera” baharu di zaman ini selepas laluan berkenaan pernah menjadikan China kuasa perdagangan dan politik besar satu masa dahulu.

Ketika melancarkan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak minggu lalu, Jack Ma turut menegaskan konsep laluan sutera sebagai idea asas kepada DFTZ.

Dari sudut ini, DFTZ yang hendak diwujudkan di Malaysia tidak lebih merupakan ‘cawangan’ di luar tanah besar di mana konsep serupa telah pun wujud China.

Dengan bangga Najib menyebutkan DFTZ dapat dilancarkan dalam tempoh kurang empat bulan sejak pertemuan pertamanya dengan Jack Ma. Di situ pun sudah menunjukkan betapa terpogoh-gapahnya Putrajaya.

Di luar dewan di mana pendiri bos Alibaba itu berucap, syarikat-syarikat milik pemerintah China menguasai satu persatu projek strategik dan mega di Malaysia.

Dalam tempoh beberapa tahun sahaja, kita dapat lihat pelbagai projek seperti pemilikkan jana kuasa eletrik, pembinaan rel keretapi, pembangunan bandar dan tambakan laut untuk membina pulau baru turut dikuasai oleh syarikat China.

Daripada semua kenyataan ini, maka memang munasabah untuk wujud kebimbangan mengenai kemasukkan warga dan tenaga buruh China yang jumlahnya jauh lebih besar daripada apa yang pernah berlaku di era Temenggung Ibrahim dan penjajah Inggeris dahulu.

Kemasukkan kali ini bolehlah dikatakan sebagai gelombang ketiga di dalam sejarah bangsa Melayu.

Peluang ekonomi

Syarikat-syarikat China yang membolot projek strategik dan mega atas kurniaan Putrajaya dilaporkan bukan sahaja akan membekalkan bahan keperluan dan kepakaran, tetapi turut membawa masuk buruh daripada negara mereka. Di sini peluang pekerja dan kemahiran tempatan disisihkan sama sekali.

Harapan yang ditaburkan kononnya daripada projek-projek berkenaan bakal mewujudkan peluang ekonomi dan pekerjaan nampaknya hanyalah janji di atas kertas.

Kesan jangka masa panjang juga dapat diduga apabila warga asing itu akan segera mampu membuka perniagaan di negara ini.

Perlu diketahui, warga China yang datang itu bukan datang dengan tongkang sehingga memerlukan masa untuk generasi kedua mempunyai modal, tetapi kali ini mereka datang dengan keupayaan wang dan modal yang bukan kepalang.

Sepertimana yang dilaporkan, anak-anak mereka juga sudah dijanjikan pendidikan di sekolah-sekolah antarabangsa yang akan turut dibangunkan.

Tidak siapa boleh memberi jaminan bahawa tiada anak-anak kaum pendatang itu kelak tidak memperolehi kewarganegaraan Malaysia apabila sudah tinggal di negara ini lebih daripada sepuluh tahun.

Pergantungan keterlaluan kepada syarikat milik kerajaan China adalah langkah yang tidak bijak dan gopoh. Keadaan ini sedikit-sebanyak telah membuatkan Malaysia turut jadi bisu dalam isu yang melibatkan kepentingan serantau.

Sebagai tuan rumah kepada sidang kemuncak ASEAN dua tahun lalu di Langkawi, Najib juga gagal mengambil kesempatan menyuarakan kebimbangan terhadap pembinaan pengkalan dan pendudukan tentera China di Laut China Selatan.

Meletakkan tentera di kawasan berbalah di Laut China Selatan tidak lain adalah sebahagian daripada cita-cita OBOR-China.

Selain menguasai darat, China juga harus menguasai laluan laut.

Globalisasi sepatutnya tidak menggugat kedaulatan mana-mana bangsa. Kalau ada negara yang tergugat, nampaknya ia turut berpunca daripada kelemahan pemimpin dan bangsa itu sendiri.

Sejarah telah mengajar kita puncanya paling tidak ada dua. Satu, kerana dasar yang salah, dan, kedua; apabila pemimpin kita yang seakan boleh dibeli dengan wang ringgit.

Penjajahan tidak perlu label “lama” atau “baru”. Penjajahan tetap penjajahan. Lubang puncanya itulah yang wajar dicari dan ditutup segera.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen