malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kelas renang perlu diperkenal dalam kokurikulum sekolah
Diterbitkan:  Mar 25, 2017 6:31 AM
Dikemaskini: 10:42 PM
ADS

Kelas renang perlu menjadi sebahagian daripada aktiviti kokurikulum di sekolah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar terutamanya kanak-kanak tentang ilmu dan kemahiran berenang.

Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata sudah tiba masanya untuk kerajaan mengangkat aktiviti itu sebagai satu daripada kelas yang perlu disertai setiap pelajar sebagai persediaan jika berhadapan dengan kejadian lemas.

"Aktiviti air terutamanya di laut dan pantai menjadi satu tarikan kepada kanak-kanak terutamanya semasa cuti sekolah. Adalah penting untuk ibu bapa dan pihak sekolah melengkapkan diri anak-anak mereka dengan ilmu berenang.

"Sudah sampai masanya kerajaan memberi perhatian yang serius khususnya untuk memberi pendidikan berenang kepada generasi muda supaya mereka tidak terjebak dengan kejadian yang tidak diingini," katanya ketika dihubungi semalam.

Ia susulan beberapa kes lemas yang berlaku di negara ini sejak awal tahun. Statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menunjukkan hampir 700 orang lemas semasa menjalankan aktiviti berkaitan air setiap tahun.

Pada 17 Mac lepas, tujuh kanak-kanak lemas ketika menangguk ikan di anak Sungai Selangor di Kampung Timah, Bukit Beruntung, Rawang, selepas mereka dihanyutkan arus deras akibat air pasang besar berikutan berlakunya fenomena kepala air.

Pada 4 Februri, tiga kanak-kanak termasuk dua beradik lemas dalam kolam bekas lombong bauksit dekat Kuantan, ketika bermain berhampiran kolam berkenaan.

Mohd Yussof berkata ibu bapa perlu peka dan mengambil tahu setiap pergerakan anak-anak mereka bagi mengelak kejadian sama berulang.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri Shaari Osman berkata keputusan untuk menyediakan kelas renang di sekolah terletak pada pembuat dasar kerana memerlukan kajian menyeluruh.

"Bukan senang untuk memastikan setiap sekolah menyediakan kelas renang Apa-apa pun cadangan ini boleh diketengahkan untuk keputusan dasar. Jika kerajaan okey kita boleh laksanakan," katanya.

Beliau berkata kerjasama erat antara pihak sekolah dan ibu bapa amat diperlukan dalam usaha menangani kekerapan kejadian lemas membabitkan kanak-kanak.

- Bernama

Lihat Komen