malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Baik siram pokok bunga dekat rumah, kata Ibrahim
ADS

Datuk Ibrahim Ali menyifatkan debat antara bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sebagai tidak relevan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) itu berkata, ia kerana isu yang ingin diperdebatkan telah pun diketahui umum.

“Saya percaya apa yang didebat itu isu kandungannya orang sudah tahu, tapi tak apa sebab dia ada masa dan tidak ada kerja lain nak buat debat.

“(Kalau saya baik) saya siram pokok bunga dekat rumah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PERKASA, Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai debat antara Mahathir dan Nazri, yang sepatutnya diadakan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar, Perak.

Antara lain debat berkenaan akan menyentuh isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dana RM2.6 bilion yang masuk ke akaun perdana menteri dan skandal BMF.

Bagaimanapun, polis tidak membenarkan debat yang dijadual pada 25 Mac itu diteruskan.

Berikutan itu, Nazri meminta tarikh debat diadakan pada ke 7 April di Kompleks Karangkraf, Shah Alam.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, debat tersebut tidak perlu diadakan kerana ia tidak ‘kena pada masanya’ dan sekiranya ia tetap mahu diadakan, waktu yang paling tepat adalah sebelum menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).

“Sebagai contoh dekat PRU media anjur debat di kalangan parti politik nak bertanding ini ada juga manfaat dia.

“Buat masa ini saya rasa debat itu tidak relevan dan saya tak nak komen lebih isu debat. Debat ini perlu kena pada waktunya dan waktu yang paling tepat adalah waktu pilihan raya. Sebab itu dalam hidup ini masa kena jaga dan jangan buang masa,” katanya.

Sidang meja bulat UEC

Sementara itu, PERKASA akan menganjurkan persidangan meja bulat bagi membincangkan isu mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Kata Ibrahim, isu UEC perlu dibincangkan kerana mana-mana sistem pendidikan harus menjurus ke arah semangat nasionalisme.

“Maka persoalan desakan pihak tertentu yang mahu sijil UEC diiktiraf bukan setakat harus memenuhi kriteria kementerian pendidikan. Kena lebih dari itu, Ia mesti diihat dalam perspektif pendudukan sistem pendidikan kebangsaan,” katanya.

Bekas anggota parlimen Pasir Mas itu turut bimbang sekiranya terdapat tekanan politik berkaitan isu UEC ini dari mana-mana pihak.

“Kita kena hentikan apa sahaja isu berkaitan akademik, atau polisi ekonomi kalau ada pengaruh politik yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu,” katanya.

Antara panel yang akan bersama dalam sesi tersebut adalah Presiden Persatuan Penuis Nasional (PENA) Dr. Salleh Rahmad, ketua kluster Pendidikan Modal Insan Majlis Profesor Negara (MPN) Profesor Teo Kok Seong dan tokoh perundangan Tuan Adnan Seman.

Ibrahim berkata, selepas rundingan itu dibuat, pihaknya akan membuat resolusi dan akan disampaikan kepada kerajaan bagi tindakan selanjutnya.

UEC adalah sijil peperiksaan yang dikendalikan badan persendirian menerusi Gabungan Kesatuan Pengelola Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Kesatuan Guru Sekolah Cina dan Kesatuan Alumni Cina.

Kementerian pengajian tinggi sebelum ini memaklumkan pengiktirafan sijil itu hanya terpakai sebagai syarat kemasukan ke universiti swasta kerana kurikulumnya tidak memenuhi keperluan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Lihat Komen