MP saling bodoh memperbodoh sesama sendiri

(Dikemaskini )

Dewan Rakyat hari ini gamat apabila anggota parlimen kerajaan dan pembangkang saling bodoh memperbodohkan sesama sendiri.

Semuanya bermula apabila Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) bertegas untuk tahu sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah suspek dalam siasatan kes berkaitan 1MDB.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada mulanya enggan menjawab soalan itu tetapi setelah diasak Gobind berkata mahu menjawabnya di luar dewan.

Gobind bagaimanapun bertegas untuk mendapatkan jawapan itu di dalam dewan.

“Kamu mahu jawab di luar dewan, maksudnya kamu ada jawapan,” katanya yang juga pengamal undang-undang.

Johari kemudian menjelaskan soal siasatan adalah tugas agensi-agensi kerajaan berkaitan dan oleh itu apa yang dibangkitkan oleh Gobind adalah “soalan bodoh”.

Jawapan itu membuatkan Gobind bingkas bangun dan berkata “bukan soalan bodoh, tapi menteri yang bodoh”.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar kemudian menyertai perang mulut itu dengan memanggil Gobind “peguam bodoh”.

Timbalan Speaker Ronald Kiandee mengingatkan supaya anggota dewan menjaga bahasa masing-masing.

Kebanyakan perbahasan berkaitan kes itu dilontar dalam bahasa Inggeris.

SPRM telah melengkap siasatan terhadap 1MDB tahun lalu dan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali memutuskan tiada tindakan lanjut akan diambil.

SPRM juga menyiasat bekas anak syarikat SRC International dan kemasukan wang RM2.6 bilion ke akaun peribadi Najib.

Apandi juga membersihkan Najib daripada sebarang salah laku.

Bagaimanapun, pihgak polis masih menyiasat berkata itu, dengan mengambil kira laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkaitan 1MDB.

Najib juga menafikan menggunakan dana awam untuk kepentingan peribadi.

[Baca berita asal]