malaysiakini logo
story-image
ADS

Pakatan Harapan (HARAPAN) melancarkan manifesto lima perkara yang disasarkan kepada masalah membabitkan kira-kira 112,600 peneroka Felda di seluruh negara.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata keutamaan HARAPAN untuk golongan peneroka ialah usaha melakukan perubahan dan mengukuhkan pengurusan serta tatakelola agensi kerajaan persekutuan itu.

Ketika membacakan resolusi itu bagi pihak HARAPAN, Rafizi berkata, jika diberi keyakinan oleh pengundi pada pilihan raya umum akan datang, mereka akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian dialami Felda di bawah pimpinan Tan Sri Isa Samad.

"HARAPAN akan membatalkan semua transaksi termasuk pelaburan dalam PT Eagle High Plantation dan pinjaman wang dari Putra Star Investment.

"Kita juga akan mengkaji manfaat dan risiko mengembalikan kawalan majoriti Felda Holdings Berhad dari FGV kepada Koperasi Permodalan Felda," katanya.

Rafizi berkata demikian semasa menghadiri Konvensyen Felda di Shah Alam. Program itu turut dihadiri pemimpin utama HARAPAN, termasuk Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu; Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Anggota Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.

Tubuh universiti Felda

Tawaran kedua daripada HARAPAN, kata Rafizi, ialah meringankan bebanan sara hidup dan hutang peneroka Felda dengan meningkatkan wang sara hidup sehingga RM2,000 seorang - berbanding antara RM1,000 hingga RM1,500 ketika ini - bagi menampung kos tanaman sebelum kelapa sawit mengeluarkan hasil.

"Setelah kelapa sawit membuahkan hasil dari tujuh hingga 15 tahun, wang sara hidup ini boleh dibayar semula dengan potongan minimum RM800 sebulan sehingga selesai tanpa dikenakan faedah," katanya.

Selain itu, HARAPAN juga akan menubuhkan agensi pemantauan yang adil untuk menyemak semula apa-apa aduan berkaitan Oil Extraction Rate (OER) supaya ia dinilai dengan telus dan tidak menyulitkan peneroka.

Bagi aspek pengurusan tanah, Rafizi berkata, HARAPAN mencadangkan suatu sistem baru untuk peneroka yang meninggal dunia sebelum menamakan pewaris bagi membolehkan tanah mereka diurus melalui perkongsian keuntungan.

"(Selepas peneroka meninggal) dan Felda akan membuat Kontrak Perkongsian Pengeluaran, tanah akan diurus oleh Felda dan pendapatan akan dibahagikan.

"Sepuluh peratus daripada pendapatan Felda akan dibayar sebagai bayaran royalti kepada anak waris. Kemudian, baki pendapatan dibayar kepada Felda untuk menampung kos operasi.

"Dan jika terdapat keuntungan ia akan dikongsi bersama antara Felda dengan waris berdasarkan saiz tanah warisan," katanya.

Selain itu aspek pendidikan juga tidak lepas daripada perhatian HARAPAN.

Rafizi memberitahu, gabungan HARAPAN bercadang menubuhkan universiti Felda bagi mengeluarka graduan yang berpengatahuan dalam bidang berkaitan industri kelapa sawit.

Konvensyen hari ini dihadiri kira-kira 200 peneroka dari seluruh negara.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen